Keputusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat hujung September 2021

         


Individu yang merayu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC), hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah, berkata kerajaan mendengar keluhan segelintir rakyat yang resah apabila mengetahui pemberian BKC kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berdasarkan data lulus BPR.

"Jika mereka lulus rayuan dengan kelayakan sedia ada, mereka juga layak menerima BKC. Jika tidak layak (menerima BPR), kita akan menggunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian.

"Jika mereka memenuhi syarat golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), mereka juga tidak terkecuali untuk menerima bantuan ini. 

"Kita sedaya upaya memastikan mereka yang terkesan dengan pandemik ini dibantu menerusi pelbagai kaedah," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BKC, di Triang di sini hari ini.

Mohd Shahar berkata, Kementerian Kewangan sentiasa mengemas kini data bagi mengelakkan orang ramai tercicir daripada menerima bantuan.

Bayaran BKC dijadualkan dibuat pada September, November dan Disember.

Pada 1 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian BKC fasa satu bermula hari ini, dijangka memanfaatkan 10 juta penerima B40 dan M40, terdiri daripada 4.4 juta isi rumah, warga emas (1.1 juta) dan bujang (4.5 juta) dengan peruntukan RM3.1 bilion.

Katanya, BKC pada awalnya dijadualkan pada Ogos lalu, namun kelewatan berlaku disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan. Sumber : BERNAMA

 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.