Hanya 3 kumpulan remaja boleh 'walk in' ke PPV

 

Hanya remaja tidak bersekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan remaja 'home schooling' dibenarkan 'walk in' ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain daripada kumpulan remaja itu, pemberian vaksin akan dijalankan secara berjadual di 156 PPV serta di sekolah.

"Hari ini masih ada yang 'walk in' dan mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan remaja ini, diminta untuk menunggu jadual janji temu yang dimaklumkan sama ada oleh pihak sekolah atau aplikasi MySejahtera.

"Saya nasihat ibu bapa tidak bergegas ke PPV kerana jadual (suntikan) akan dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlebih awal... mereka akan bagi giliran ini kepada ibu bapa dan penjaga," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa membawa anak mengikut tarikh serta waktu yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.

"Hari ini saya dimaklumkan kesesakan berlaku di Dewan Sivik Petaling Jaya, ada pelbagai sebab ini berlaku tetapi yang utama adalah datang tidak mengikut waktu yang ditetapkan," katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan itu, Khairy berkata, PPV, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diingatkan mengikut ketetapan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pemberian vaksin kepada remaja.

Tidak ada arahan dan SOP berbeza diberikan kepada ibu bapa dalam penetapan kaedah pemberian vaksin COVID-19.

"Tiada SOP baharu untuk mengelakkan sebarang kekeliruan. Ikut kaedah dinyatakan Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Pendidikan, sebelum ini.

"Saya menerima laporan ada pihak memberitahu ibu bapa pergi saja ke PPV (untuk terima suntikan). Tolonglah, kita mahu pemberian vaksin ini berjalan secara teratur dengan kaedah ditetapkan," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bekalan vaksin untuk menyuntik kira-kira seramai 3.2 juta remaja juga mencukupi.

"Ibu bapa tidak perlu risau, kita mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi. Cukup untuk 3.2 juta remaja. Cuma tunggu giliran saja. Ia tidak akan mengambil masa berbulan seperti sebelum ini kerana bekalan sudah ada ada," katanya.

Sumber : Berota Harian

 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.