Masih terlalu awal tentukan keperluan beri dos penggalak - Pakar

 

Penularan pantas varian Delta di serata dunia menyaksikan prospek untuk pemberian suntikan ketiga vaksin COVID-19 atau dos 'penggalak', semakin menarik minat negara yang sebahagian besar rakyatnya telah memperoleh perlindungan imunisasi.

Namun, pakar menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk menentukan dengan pasti sama ada mana-mana negara perlu memberi dos ketiga menjelang penghujung tahun ini.

Segelintir mencadangkan keutamaan ketika ini harus terarah kepada pembekalan vaksin untuk ratusan juta penduduk di selatan dunia yang masih belum mendapat suntikan pertama hingga kini.

Awal bulan ini, pengeluar vaksin Pfizer/BioNTech dilaporkan berkata, pihaknya akan meminta kebenaran pihak berkuasa Eropah dan Amerika Syarikat (AS) untuk menyediakan dos ketiga.

Mereka menjelaskan, matlamatnya ialah bagi memastikan pembentukan sistem ketahanan badan individu yang lebih kuat berbanding dua suntikan vaksin.

Menurut pihak berkenaan, dua dos vaksin keluaran mereka berupaya melindungi daripada gejala COVID-19 yang teruk, untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Bagaimanapun, kemunculan varian berkemungkinan akan menjejaskan keberkesanannya dari semasa ke semasa.

Ketua Penasihat Perubatan Rumah Putih, Anthony Fauci dalam wawancara di CNBC pada Selasa lalu, berkata permohonan dos ketiga oleh Pfizer/BioNTech adalah 'persediaan wajar ke arah keperluan mengambil suntikan penggalak pada akhirnya.'

"Namun apabila ia diterjemahkan kepada: 'Kita akan memerlukan dos penggalak, semua orang bakal menerima dos penggalak', itu adalah tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata, terlalu ramai orang masih belum menerima imunisasi lengkap dua suntikan vaksin, apatah lagi tiga dos.

Setakat ini, belum ada petunjuk bahawa agensi perubatan akan mengesyorkan pengambilan dos ketiga oleh individu yang sudah menerima imunisasi lengkap dua suntikan vaksin.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan Pusat Kawalan Penyakit Eropah pula memaklumkan, masih awal untuk menentukan keperluan pengambilan dos ketiga.

"Belum ada data mencukupi daripada kempen vaksinasi dan kajian berterusan, untuk memahami berapa lama perlindungan vaksin akan bertahan dengan turut mengambil kira penularan pelbagai varian," kata kedua-dua pihak itu dalam satu kenyataan bersama.

Pengarah Jawatankuasa Kecemasan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Didier Houssin, tidak percaya wujudnya bukti mencukupi untuk menjustifikasi cadangan pengambilan dos ketiga, buat masa ini.

Beliau sekali gus memberi amaran bahawa perbincangan mengenai dos ketiga, boleh 'meningkatkan kebimbangan mengenai akses terhadap vaksin' ketika kebanyakan negara hanya mencatat peratusan kecil penduduk menerima vaksinasi lengkap. 

Sumber : AFP

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.