Rakyat Perancis pilih Presiden baru


PARIS 7 Mei - Pemimpin Parti Sosialis, Francois Hollande hari ini diisytihar sebagai Presiden Perancis pertama dari parti itu dalam tempoh dua dekad selepas keputusan pusingan kedua pilihan raya Presiden menunjukkan beliau menewaskan penyandang jawatan itu, Nicolas Sarkozy.

Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hari ini, Hollande memenangi 51.62 peratus undi berbanding 48.38 peratus oleh Sarkozy, perbezaan sebanyak 1.13 juta undi.

Keputusan itu membawa implikasi besar kepada Eropah ketika ia berusaha pulih dari krisis kewangan dan kepada Perancis yang merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar dalam zon Eropah serta anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai senjata nuklear.

Kemenangan Hollande disambut sorakan penyokongnya di Place de la Bastille di sini, ketika keputusan awal itu diumumkan.

Parti berhaluan kiri itu gembira apabila pemimpinnya berjaya menjadi pemimpin Perancis pertama dalam tempoh dua dekad sejak Francois Mitterrand juga dari parti sama menjadi Presiden dari 1981 hingga 1995.

Hollande sebelum ini berikrar untuk menentang paket penjimatan Eropah dan jadual pengunduran pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dari Afghanistan.

Beliau dijangka mengangkat sumpah pada 16 Mei ini.

Hollande hari ini akan ke Berlin bagi mencabar fokus Jerman berhubung polisi jimat cermat dan mengemukakan idea baru untuk meningkatkan pembangunan ketika krisis kewangan zon Eropah kembali menjadi tumpuan dengan keputusan pilihan raya umum Greece.

Pemimpin parti Sosialis itu sebelum ini berkata, tindakan pertamanya sebagai Presiden adalah menulis surat kepada semua pemimpin negara Eropah lain supaya mengadakan rundingan berhubung perjanjian pengurangan bajet yang bertujuan untuk merapatkan lagi ekonomi negara-negara di benua itu.

Hollande mahu membenarkan program rangsangan ekonomi ditaja kerajaan dalam usaha meningkatkan perkembangan ekonomi.

- AGENSI

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.