PAS anggap gaji minimum RM900 rendah


PAS berpandangan gaji minimum swasta RM900 bagi Semenanjung serta RM800 di Sabah dan Sarawak adalah terlalu rendah kerana tidak menggambarkan kos hidup sebenar yang sentiasa meningkat di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, serentak dengan itu pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Pekerja itu belum mengeluarkan entiti tersebut daripada garis kemiskinan.

“Kita dapati sebahagian besar sektor swasta berada di bandar atau pinggir bandar sedangkan paras kemiskinan penduduk bandar seperti ditetapkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) ialah berpendapatan RM1,500 sebulan.

“Itu belum lagi dikira kos hidup sebenar di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur yang kos hidupnya jauh lebih tinggi kerana kenaikan harga barang yang sentiasa memuncak tanpa kawalan,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah, ini bermakna kenaikan yang diumum kerajaan tidak menggambarkan kepantasan kenaikan harga barang termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, cadangan Pakatan Rakyat (semasa pembentangan Bajet Alternatif 2012) iaitu gaji minimum RM1,100 adalah lebih munasabah kerana tidak membebankan majikan dan cukup untuk menampung kos sara hidup pekerja.

“Bagaimanapun PAS tetap alu-alukan pengumuman tersebut kerana ia telah dicetuskan oleh Pakatan sebagai tawaran terbaik kepada rakyat dulu,” katanya dalam sidang media sebelum mesyuarat Perhubungan PAS negeri di sini.

Serentak dengan itu, beliau berkata PAS mahu kerajaan tetapkan mekanisme pemantauan atau undang-undang yang boleh dikenakan kepada majikan jika ingkar dengan keputusan tersebut.

“Jika tidak ia hanya menjadi gimik politik menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang,” tegasnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta oleh Najib pada majlis makan malam pekerja dan majikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Mengenai kontroversi himpunan Bersih 3.0, beliau tetap menyalahkan pihak polis kerana melakukan provokasi mengganggu perhimpunan yang sepatutnya berlangsung aman itu.

Katanya, ini terbukti dengan perhimpunan aman yang diadakan di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Pahang yang tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

“Jadi kekecohan itu bermula apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup tempat awam, pihak polis yang melakukan sekatan, provokasi, hinggalah tindakan menembak gas pemedih mata dan air kimia di luar perintah mahkamah.

“Cuba fikir, kenapa tidak berlaku sebarang kekecohan di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Baru dan tempat-tempat lain? Maknanya kebebasan berhimpun dan menghalang hak bersuara itulah yang menyebabkan berlaku kekecohan,” katanya.

Mengenai tarikh PRU, beliau berkata sebelum 29 April dulu PRU pada pendapat beliau akan diadakan Jun ini. Namun selepas tarikh tersebut (Bersih 3.0) secara peribadi beliau berpendapat Perdana Menteri terpaksa memikirkan banyak kali dan mungkin menganjakkan tarikh tersebut lebih lewat.

- HARAKAH DAILY
 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.