Mat Zan diarah ‘cuti rehat' jurulatih Terengganu sehingga 15 Mei 2012



KRISIS dalaman yang melanda bola sepak Terengganu kini memasuki episod baharu apabila ketua jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris (gambar) direhatkan daripada membimbing pasukan itu sehingga 15 Mei ini.

Berita terbaharu itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh selepas pihak persatuan mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin.

Menurut Abdullah, keputusan untuk merehatkan Mat Zan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kegagalan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

“Ini bukanlah keputusan individu tetapi keputusan dibuat sebulat suara yang diputuskan oleh pengurusan PBSNT. “Dalam pertemuan itu juga, PBSNT turut memanggil beberapa pemain senior untuk mendapatkan sendiri pandangan mereka mengenai kedudukan Mat Zan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Abdullah lagi, ekoran keputusan untuk merehatkan Mat Zan, tugas untuk membimbing pasukan Terengganu kini diserahkan kepada penolong jurulatih, Khalid Mohd. Dahan.

“Mat Zan adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001.

“Bagaimanapun, pihak persatuan perlu juga mengambil kira kepentingan PBSNT kerana sasaran awal kami adalah untuk menjulang tiga piala. Kini, Terengganu telah terlepas kejuaraan Piala FA,” ujarnya.

Ditanya adakah pihak persatuan bakal menyingkirkan Mat Zan, Abdullah tidak menolak kemungkinan itu sambil menyifatkan keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh pihak tertinggi PBSNT.

"Buat masa ini, kita hanya merehatkan Mat Zan hingga 15 Mei ini dan segala tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil alih oleh Khalid buat sementara waktu,” tambahnya.

Untuk rekod, Mat Zan yang pernah membimbing Kuala Lumpur dan Pos Malaysia mula mengendalikan skuad Penyu pada awal musim ini bagi menggantikan Irfan Bakti yang berhijrah ke Selangor.

Di bawah kendalian Mat Zan, Terengganu ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super dan mara ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia, namun gagal dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA selepas tewas memalukan di tangan Sime Darby minggu lalu.

Terengganu bergelora

HANYA moral dan semangat pemain Tereng- ganu sahaja yang boleh memastikan kemena- ngan apabila turun menentang Perak dalam saingan Liga Super di laman sendiri malam ini kerana pasukan itu sudah mendapat cukup banyak tekanan.

Selepas gagal ke peringkat akhir Piala FA apabila tewas kepada Sime Darby sebelum ini, pasukan itu kini kehilangan jurulatih utama, Mat Zan Mat Aris yang direhatkan empat per- lawanan sehingga 15 Mei ini.
Pembantu jurulatih Terengganu, Khalid Mohd. Dahan yang kini memangku tugas Mat Zan memberitahu, selain itu, ramai pemainnya tidak dapat turun beraksi malam ini atas pelbagai masalah.

"Francis Forkey Doe, Shamsul Kamal Mohamad, Abdul Manaf Mamat dan Ahmad Nordin Alias mengalami kecederaan, manakala Reeshafiq Alwi masih belum pulih sepenuhnya.

"Mazlizam Mohammad pula tidak boleh diturunkan sebab ada tiga kad kuning," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu katanya, sedikit perubahan taktikal dan formasi perlu dilakukan memandangkan ramai pemain utama yang tidak dapat diturunkan, namun beliau mengharapkan agar para pemain boleh menunjukkan aksi penuh semangat.

"Ketika ini kita tidak banyak kelebihan, jadi hanya moral dan semangat yang akan membantu pasukan Terengganu untuk bermain le- bih baik menentang Perak malam esok (malam ini)," katanya.

Jelasnya, peluang dengan Perak adalah 50-50 berdasarkan dua pertemuan sebelum ini yang mana Terengganu pernah tewas sekali dalam pertemuan Piala FA 0-1 dan menang 1-0 semasa pusingan pertama Liga Super di Perak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menjelaskan, keputusan merehatkan Mat Zan dilakukan selepas pasukan tersebut tewas kepada Sime Darby, Selasa lalu.

"Saya hubungi dia melalui telefon selepas perlawanan itu dan saya minta dia berehat empat perlawanan," katanya.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.