Resipi Perunding Insurans Zuriati




MAHU bidang insurans dan takaful menjadi ‘lombong emas’ buat ribuan siswazah yang memburu pekerjaan ialah misi utamanya ketika melancarkan program ‘Road to Millionaire’ tahun lalu.

Program disingkap menerusi pengalaman getir ketika mengharungi industri insurans selama 10 tahun dirumus menjadi resipi terbaik dibekalkan kepada 15 anak didiknya.

Bagi Zuriati Mohamed Yusoff, 38, dia berusaha gigih melancarkan program itu bersama suaminya, Mohd Zubir Ismail, kerana ingin membuka peluang pekerjaan kepada siswazah mahupun penganggur supaya mempunyai pendapatan untuk menampung kelangsungan hidup.

Malah, gigih tersemat dalam diri Pengarah Urusan ZMY & Associates Sdn Bhd itu yang mahukan projek berkenaan menjadi titik permulaan dalam merubah mentaliti sebahagian besar masyarakat, terutama siswazah mahupun lepasan diploma, mengenai peluang kerjaya dalam bidang insurans.

Katanya, ramai yang datang menghadiri sesi temuduga sebagai perunding kewangan syarikatnya menerusi program berkenaan menarik diri sebaik dia menyatakan tiada gaji bulanan.


“Bidang insurans kurang popular di kalangan siswazah atau lepasan diploma yang keluar mencari pekerjaan kerana pendapatan diperoleh ejen insurans berdasarkan komisen.

“Mereka khuatir tidak dapat bertahan dengan bebanan kos kehidupan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sebaik bekerja sebagai ejen insurans, sedangkan bidang insurans boleh memberi pulangan lumayan jika diberi fokus,” katanya.

Dia yang menerima anugerah Million Dollar Round Table tiga kali iaitu pada 2007, 2009 dan 2010 berasa pembabitannya dalam bidang itu menjanjikan peluang lebih baik daripada kerjayanya sebelum ini.

Dia yang mempunyai lebih 200 ejen seluruh negara berkata, bidang ini memerlukan ilmu dan teknik jika ingin pergi lebih jauh dan bertahan dalam industri kewangan itu.

“Kalau betul caranya, pendapatan diperoleh daripada insurans lebih tinggi daripada pekerja makan gaji. Malah, permintaan dalam industri ini kian meningkat dan membolehkan ejen mahupun usahawan insurans terus menikmati pendapatan lebih lumayan.

“Tambah pula, syarikat insurans kini mula menawarkan pelan perlindungan bersama pilihan pelaburan mahupun skim simpanan jangka masa panjang, menyebabkan ramai mula membuka mata untuk mendapatkan perkhidmatan perunding kewangan membabitkan insurans,” katanya.

Mengungkap perjalanan awalnya dalam bidang insurans, anak jati Bidor, Perak ini tidak menafikan perlu bergelut dengan pelbagai konflik sebelum sampai ke tahap ini.

Dia yang mesra membahasakan dirinya Kak Zu mengakui hampir kehilangan rumah dan kereta kerana tiada mentor membimbing dirinya apabila dia cuba menceburkan diri sepenuh masa.

Dia mengambil langkah drastik berhenti daripada kerjaya stabil, disusuli suami tidak lama kemudian supaya dapat memberi tumpuan penuh kepada perniagaan, namun pada awalnya dilihat seolah-olah menjerut diri sendiri.

“Ketika Kak Zu memulakan perniagaan dalam bidang perkhidmatan ini, tiada siapa membimbing Kak Zu dan suami, menyebabkan kami terkontang kanting kerana sukar memperoleh klien.

“Sampaikan duit simpanan habis dan rumah serta kereta hampir ditarik oleh pihak bank kerana tiada pulangan diperoleh bagi menjelaskan ansuran tanggungan kami.

“Rasa sesal menggunung sebaik memikirkan tindakan terburu-buru Kak Zu serta suami berhenti daripada jawatan lama memakan diri.

“Tambah memeningkan, Kak Zu asyik teringatkan nasihat keluarga yang tidak senang dengan keputusan Kak Zu dan suami berhenti kerja. Rentetan itu, kami mulai menyalahkan sesama sendiri di atas kesempitan hidup.

“Namun sebaik tenang, kami berbincang dan sepakat mengikuti kursus dianjurkan syarikat insurans dengan baki simpanan yang ada.

“Boleh dikatakan ketika itu Kak Zu dan suami tawakal dan ingin memberi peluang kepada bidang insurans walaupun majikan Kak Zu dulu menawarkan jawatan lama kembali.

“Ia nyata keputusan betul kerana menerusi seminar dihadiri, kami mendapat formula untuk berjaya dalam bidang ini hinggalah ia dijadikan pengisian dalam program ‘Road to Millionaire’,” katanya.

Ibu kepada Muhammad Fariz Irfan, 9, ini bersyukur ilmu serta kombinasi pengalaman dikongsi menerusi projeknya mampu melahirkan perunding kewangan dengan perolehan setiap bulan mencecah RM3,500.

Sebaik ditanya mengenai sokongan keluarga, Kak Zu berkata, dia bersyukur suaminya sanggup berganding bahu menyatakan sokongan. Malah, dia dan suami sering berbincang dan bersaing untuk mencapai tahap tertinggi dalam bidang berkenaan.

“Kak Zu bersyukur suami bergiat dalam bidang sama. Mungkin ini dikatakan serasi dan Kak Zu senang bekerjasama bersama suami supaya kami dapat memperkembangkan perniagaan perkhidmatan ini.

“Anak tunggal turut memahami apabila kami terpaksa meninggalkan dia keseorangan di rumah sehingga lewat malam kerana ada temujanji dengan klien serta ejen di luar.

“Oleh itu, masa jika ada masa terluang, Kak Zu dan suami lebih gemar duduk di rumah menemani anak menonton televisyen atau keluar makan bersama,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru syarikatnya, ZMY & Associates Sdn Bhd baru saja dilantik sebagai Agensi Berdaftar di bawah syarikat AIA AFG Takaful Berhad.

"Alhamdulillah, dengan perlantikan kami sebagai agensi berdaftar dengan pihak AIA AFG Takaful Berhad, kami dapat menawarkan produk takaful kepada pelanggan beragama Islam.

“Sekali gus kelompok ini tidak perlu khuatir kerana ia bukan saja mematuhi daripada segi muamalatnya (urusan mengikut syariat), malah ada antara pakej menyediakan pelan tabungan jangka masa panjang kegunaan sebaik tamat berkhidmat kelak,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Zuriati Mohamed Yusoff
UMUR: 38 tahun
ASAL: Bidor, Perak
JAWATAN: Pengarah Urusan ZMY & Associates Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Sarjana Ekonomi, Universiti Putra Malaysia

PENCAPAIAN: Lima terbaik di kalangan perunding insurans berjaya di Malaysia pada 2007 dan memperoleh anugerah Million Dollar Round Table pada 2007, 2009 dan 2010


INFO:

NAMA SYARIKAT:
ZMY & Associates Sdn Bhd

PERKHIDMATAN: Menyediakan khidmat runding kewangan seperti pelan insurans konvensional atau takaful

PROGRAM: Projek perintis ‘Road to Millionaire’ yang melatih graduan dan pemegang diploma untuk berkecimpung dalam industri insurans

ALAMAT: No 5-3, Jalan 15/48A Boulevard Shop Office, Off Jalan Sentul, 51000 Kuala Lumpur

E-MEL: zmy.associates@gmail.com


- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.