Rakyat Malaysia makan garam berlebihan

Penduduk di negara ini didapati mengambil 8.5 gram garam sehari iaitu lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara lima hingga enam gram sehari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keadaan itu dilihat berlanjutan sejak lima tahun lalu apabila bilangan peratusan pesakit darah tinggi meningkat kepada 32.7 peratus berbanding 32.2 peratus pada 2006.

“Sebenarnya satu sudu garam dalam pemakanan sudah mencukupi namun rakyat negara ini mengambil garam melebihi kadar sepatutnya sekali gus terdedah kepada risiko penyakit darah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Pemakanan Malaysia 2012 dan merasmikan Karnival NutriFun di Kuala Lumpur.

Kata beliau, usaha mengurangkan pengambilan garam dalam makanan mampu menghindarkan orang ramai daripada pelbagai penyakit kronik seperti strok dan lemah jantung.

Pada masa sama kata Tiong Lai, pihaknya turut mendapat kerjasama pelbagai syarikat pengeluar makanan proses seperti produk sos, sup dan bijian untuk menempatkan label kandungan makanan pada bahagian hadapan bungkusan.

“Usaha ini bagi memudahkan pengguna mengetahui kadar kandungan garam atau gula yang terdapat dalam makanan diproses sekali gus membantu mereka menjaga diet pemakanan yang sepatutnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan pengarah dan timbalan pengarah hospital seluruh negeri mengadakan perjumpaan setiap minggu dengan doktor pelatih bagi mendengar keluhan atau rasa tidak puas hati yang mungkin timbul di kalangan kumpulan tersebut.

“Saya ada mendengar aduan mengenai rasa tidak puas hati, tertekan dan ada unsur buli terhadap doktor pelatih dan kementerian melihat perkembangan ini sebagai perkara yang serius.

“Golongan ini adalah sebahagian daripada keluarga Kementerian Kesihatan dan saya mahu pengarah dan timbalan pengarah hospital menjaga mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu pihak terbabit memastikan doktor pelatih mengikut waktu kerja yang sudah ditetapkan iaitu daripada 90 jam kepada 60 jam seminggu manakala dua kali cuti rehat setiap minggu.

- UTUSAN Rakyat Malaysia makan garam berlebihan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.