85 peratus yuran IPTA dibiayai

Kerajaan membiayai 85 hingga 95 peratus daripada yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) setiap tahun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menanggung kadar faedah antara empat hingga lima peratus setahun yang dikenakan institusi kewangan terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pinjaman pelajar yang disediakannya.

Beliau berkata, pada tahun ini saja, kerajaan perlu membayar RM1.09 bilion dalam bentuk kadar faedah, manakala untuk tempoh 2004 hingga 2011, kerajaan akan menanggung kadar faedah sebanyak RM3.62 bilion.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Perdana Himpunan Siswazah Kelantan 1Malaysia di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM di Shah Alam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK), Mohd Faizal Daud.

Mengambil contoh, Muhyiddin berkata, pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM9,000 atau hanya 5.4 peratus saja bagi tempoh lima tahun, berbanding jumlah sebenar kos kursus ialah RM166,000 atau 94.6 peratus yang ditanggung kerajaan.

“Begitu juga dengan pelajar kejuruteraan di UKM yang hanya membayar yuran RM5,600 untuk tempoh empat tahun berbanding yuran sebenar pengajiannya RM61,200.

“Jadi, pelajar hanya bayar 9.2 peratus saja, manakala bakinya oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar juga hanya menggunakan 15 hingga 30 peratus saja pinjaman PTPTN bagi membayar yuran pengajian, manakala 70 hingga 85 peratus lagi adalah untuk kos sara hidup di kampus.

- BERITA HARIAN


85 peratus yuran IPTA dibiayai

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.