Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) tawar khidmat cetakan keselamatan terbaik

Pengiktirafan kerajaan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk melaksanakan kerja-kerja percetakan dokumen keselamatan bersepadu khusus, membuktikan kepercayaannya terhadap keupayaan syarikat itu yang setanding dengan syarikat-syarikat percetakan besar lain di dunia.

Ini jelas apabila kerajaan menugaskan PNMB untuk melakukan kerja-kerja percetakan bahan keselamatan termasuk bahan-bahan berkaitan rahsia kerajaan.

Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff berkata, berdasarkan kepada pengiktirafan oleh kerajaan kepada PNMB, pihaknya kini berupaya untuk mencetak apa sahaja dokumen yang berkaitan keselamatan atau berisiko tinggi.

PNMB berupaya mencetak hampir semua jenis dokumen keselamatan, di mana kertas-kertas yang diguna adalah hakmilik eksklusif PNMB dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang unik untuk memastikan ketulenan dokumen keselamatan sentiasa terjamin daripada aktiviti-aktiviti pemalsuan.

Katanya, PNMB berpengalaman luas dalam membangunkan ciri-ciri keselamatan melalui reka bentuk dan elemen keselamatan di dalam dokumen seperti kepala surat, pas, kupon, baucar, transkrip, sijil , kertas soalan serta jawapan peperiksaan dan banyak lagi. Berdasarkan kehendak para pelanggan, pereka-pereka grafik keselamatan PNMB berupaya menggabungkan pelbagai ciri keselamatan untuk menjamin ketulenan dokumen. Ini termasuk kertas peka kimia, jalur halus, mikro teks, reka bentuk guilloche, nombor siri, dan sebagainya.

"PNMB mampu untuk melakukan kerja-kerja percetakan berisiko tinggi, malah kami merancang untuk membida satu projek dokumen keselamatan bersepadu tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Izham, pihaknya telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk memperkenalkan semula penggunaan I-Kad kepada I-Pass bagi Pegawai Dagang dan I-Pass Pemastautin.

Kad I-Pass ini mengandungi segala maklumat peribadi Pegawai Dagang seperti nama, nombor pasport, jantina, kerakyatan, tarikh lahir, gambar, tarikh tamat kad dan ciri-ciri keselamatan yang diterapkan pada kad ini. Selain itu, bagi tujuan pengesahan data, pada Kad I-Pass ini juga mempunyai kod keselamatan peribadi.

Kata Izham, cadangan juga dikemukakan kepada Jabatan Imigresen untuk melaksanakan I-Pass di semua cawangan Jabatan itu di seluruh negara. "Apabila kad tersebut digunakan secara menyeluruh, Jabatan Imigresen tidak perlu menukar penggunaan sistem baru kerana ia boleh diintegrasikan dengan sistem yang sedia ada dengan pengubahsuaian kecil aplikasi untuk mendapatkan data daripada sistem Jabatan Imigresen," katanya.

Dengan berbuat demikian, Izham menjelaskan, Jabatan Imigresen berupaya mencapai objektif untuk mempunyai pengurusan dan pengawalan pemegang kad yang cekap dengan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada I-Pass.

Selain itu, sistem akan melakukan pengesahan maklumat yang dipaparkan pada I-Pass dan memastikan bahawa pemegang kad adalah pemegang kad yang sah.

Izham berkata, proses I-Pass bermula daripada terminal kaunter Jabatan Imigresen ketika permohonan dibuat yang mana data dan imej gambar yang diperlukan dihantar dan dimasukkan dalam setiap kad dihantar dari Sistem myIMM kepada Terminal Perso PNMB.

Setiap Terminal Perso PNMB mempunyai Dynamic Link Library (DLL) yang berfungsi untuk mengambil data dan imej gambar yang dihantar kepadanya dan membuat olahan kepada struktur dan susun atur yang sesuai untuk cetakan, berhubung dengan pemacu pencetak kad, menggabungkan reka bentuk kod bar 2D kepada format susun atur yang sedia untuk dicetak.

Selain itu, ia akan menjalankan atau melaksanakan proses cetak kad dan menghantar status kepada Sistem myIMM bahawa kad telah berjaya dicetak.

Walaupun pelbagai keistimewaan atau kemudahan telah diperkenalkan ke atas kad tersebut, PNMB tidak pernah berkompromi dengan tahap ciri-ciri keselamatan ke atas kad itu. Pelbagai jenis ciri keselamatan telah diterapkan ke dalam I-Pass.

Bagi tujuan pengesahan data, I-Pass tersebut juga mempunyai kod keselamatan yang dipersonalisasikan.

Beliau menambah, bagi mewujudkan keyakinan ke atas percetakan kad keselamatan itu, semua kilang operasi PNMB telah diwartakan sebagai kawasan terhad dan dipantau oleh Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, kerana ia milik penuh kerajaan (Menteri Kewangan Diperbadankan) dan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

PNMB juga dilengkapi dengan peralatan-peralatan keselamatan seperti Bilik Kebal untuk penyimpanan dokumen-dokumen rahsia dan sulit, pemantauan 24 jam dengan menggunakan kamera litar TV bertutup (CCTV), laluan keluar masuk dengan menggunakan sistem biometrik dan juga sistem penggera.

Baru-baru ini, PNMB sekali lagi diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk mencetak baucar buku RM200 yang diagihkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Baucar RM50 setiap satu akan dicetak dengan kertas keselamatan dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berikutan kemampuan dan kebolehan itu, PNMB mampu melangkah lebih jauh dalam bidang cetakan keselamatan dan juga penambahan nilai bidang ini melalui khidmat penyelesaian dokumen keselamatan yang lebih menyeluruh.

Izham berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mereka bentuk dan menghasilkan kad pintar dan baucar buku yang sangat tinggi nilai keselamatannya jelas menunjukkan bahawa PNMB mempunyai pengalaman dan kepakaran yang diperlukan dalam bidang khidmat penyelesaian dokumen keselamatan bersepadu.

PNMB yakin dengan pengalamannya, teknologi pintar, kreativiti, inovasi dan kerjasama strategik bersama rakan penyelesaian sistem keselamatan terkemuka di dunia, industri ini akan dapat diterokai dengan jaya dan cemerlang sejajar dengan visi PNMB sebagai pencetak pilihan utama dalam semua bidang cetakan.

"Pelanggan bolehlah menghubungi cawangan dan kedai PNMB di seluruh Malaysia atau membuat pertanyaan melalui emel di cservice@printnasional.com.my atau melayari laman web www.printnasional.com.my," katanya.

- UTUSAN Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) tawar khidmat cetakan keselamatan terbaik

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.