Usia persaraan 60 tahun galak produktiviti kerja

Oleh Kadir Dikoh

SEORANG rakan berusia awal 30-an secara berseloroh berkata, andainya usia persaraan dilanjutkan sehingga 60 tahun, pejabat terpaksa menyediakan kerusi roda, kos perubatan meningkat, skim pemberian/pemeriksaan cermin mata diwujudkan dan ruang pejabat dipenuhi golongan veteran.

Dibalas pula seorang rakan yang baru bersara setahun lalu bahawa andaian itu tidak berlaku sekarang kerana umumnya usia 60 tahun kini masih sihat, bertenaga apatah lagi berupaya memukul bola golf saban hari selepas tidak bekerja.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Subramaniam, berkata Akta Persaraan Pekerja Swasta (APPS) bagi membolehkan had umur persaraan pekerja swasta dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Ia mendapat sokongan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Kerajaan ketika ini dalam peringkat perbincangan untuk menggubal akta berkenaan bagi membolehkannya diselaraskan dengan had persaraan kakitangan awam.

Cuba teliti beberapa fakta berikut:

Jepun dan Korea Selatan sudah melanjutkan usia persaraan hingga 60 tahun. Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja juga melakukan perkara sama bagi sektor swasta mereka. Singapura pula melanjutkan hingga 62 tahun dan Australia 65 tahun. Usia bersara 55 tahun di Malaysia ketika ini hanya meletakkan kita sama dengan Bangladesh, Sri Lanka, Nepal dan Papua New Guinea.
Kajian KWSP pada 2009 mendapati, 73 peratus mereka yang bersara pada usia 55 tahun memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM50,000. Keadaan bertambah buruk apabila purata jangka hayat meningkat sehingga 72.9 tahun. Hanya berbekalkan RM50,000 simpanan selepas bersara, seseorang itu hidup dalam paras kemiskinan dengan purata pendapatan bulanan RM530.

Mengikut statistik KWSP juga, ada 5.8 juta pekerja sektor swasta yang aktif bekerja dan kira-kira 100,000 bersara setiap tahun. Kalau kita ambil tempoh lima tahun, kita akan peroleh 500,000 pekerja tiada dalam pasaran kerja. Jumlah 500,000 itu secara tidak langsung mengurangkan pekerja asing.

Kajian Bank Dunia selama 42 tahun terhadap negara maju mendapati lanjutan umur persaraan tidak menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda kerana mereka kurang berpengalaman dan pengetahuan jika dibandingkan dengan pekerja lama.

Dalam konteks Malaysia, kerajaan sudah melakukan pelbagai usaha membantu golongan muda melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berpotensi memacu pertumbuhan dan menyumbang secara langsung terhadap peningkatan ekonomi negara selain Model Baru Ekonomi. Di sini, pihak swasta akan memainkan peranan lebih ketara, manakala sektor awam akan jadi pemudah cara kepada sektor swasta. Semua inisiatif ini akan menjana pekerjaan baru yang begitu banyak dan dijangka 3.3 juta peluang pekerjaan akan ditawarkan pada 2020.

Dalam kaji selidik dijalankan Jobstreet.com baru-baru ini, 72 peratus daripada responden menyokong gesaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 55 tahun, dengan kebanyakan mereka (34 peratus) menyatakan mereka memilih untuk bersara pada umur 60 tahun. Sebanyak 15 peratus menyatakan mereka memilih untuk bersara pada usia 65 tahun, manakala 12 peratus berkata mereka lebih suka jika tiada umur maksimum ditetapkan bagi persaraan. Sebanyak 84 peratus berkata, adalah perlu untuk menaikkan umur persaraan berikutan peningkatan jangka hayat akan memberikan bebanan lebih tinggi kepada simpanan, manakala 73 peratus berkata langkah itu akan memastikan pengekalan pekerja mahir, khususnya dalam profesion yang memerlukan banyak pengalaman.

Ketika umur persaraan mula diperkenalkan 50 tahun lalu, tempoh hayat purata rakyat Malaysia hanya dijangka mencecah 55 dan 60 tahun. Jadi pada waktu itu skim pencen kerajaan mencukupi.

MEF sebelum ini dikatakan tidak berminat dengan cadangan menaikkan umur persaraan itu kerana berasakan pekerja pada usia 50 tahun ke atas masih boleh bekerja secara kontrak.

“Namun, bila melihat kepada keadaan pasaran tenaga kerja sekarang berlainan di mana begitu ramai pekerja asing, mencecah 1.7 juta orang di Malaysia, haruskah kita membiarkan saja perkara ini atau menggunakan tenaga kerja tempatan,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat kerajaan sepatutnya memberi pilihan kepada pekerja swasta, iaitu bersara pada usia 55 tahun dan boleh dilanjutkan secara tahunan hingga usia 60 tahun berdasarkan merit bagi mengelak pekerja yang tidak produktif (dead wood) terus berada dalam organisasi yang akhirnya tidak menguntungkan syarikat atau majikan.

Ada yang kata, soal produktiviti atau menyimpan ‘dead wood’ dalam satu organisasi tidak timbul kerana ia tidak berkaitan umur, dengan alasan orang muda pun ada yang tidak produktif. Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia melihat ia sebagai kebaikan kerana keperluan tenaga kerja berpengalaman wajar dikekalkan selagi mereka mampu berkhidmat.

Pilihan seperti memilih pekerja berdasarkan merit saja dibenar untuk dilanjutkan umur bersara pada 60 tahun, tidak dipersetujui MTUC dan beberapa kesatuan sekerja swasta yang mahu penetapan umur persaraan pada 60 tahun dilaksanakan secara mandatori seperti yang akan dipinda dalam Akta Pekerja 1955.

Presiden MTUC, Khalid Atan, berkata penetapan had umur itu penting supaya ia diiktiraf dan termaktub dalam undang-undang pekerja di negara ini. Penetapan secara mandatori itu juga, katanya, dapat menyelaraskan had umur bersara kakitangan swasta sama seperti anggota perkhidmatan awam yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Tetapi MEF melontar cadangan baru dan menurut Shamsuddin, di pihak majikan, mereka mahukan waktu transisi sebelum had umur persaraan 60 tahun dilaksanakan kerana mengambil kira kontrak perjanjian bersama antara majikan dan pekerja.

Selain itu, proses transisi itu memberi peluang majikan menyelaraskan aliran masuk keluar, pengambilan baru, penggantian dan persaraan sumber manusia di syarikat masing-masing.

- BERITA MINGGU Usia persaraan 60 tahun galak produktiviti kerja

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.