Tabah hadapi ujian Allah - Petua Kejayaan Datuk Dr. Ibrahim Ahmad


DUGAAN besar yang diberikan Allah bagi menguji suami isteri semasa awal perkahwinan rupa-rupanya menguatkan lagi ikatan suci yang dibina di antara Profesor Datuk Dr. Ibrahim Ahmad dan Datin Norzaina Ghani.

Prof. Ibrahim pernah tidak bekerja beberapa bulan selepas berkahwin, tidak mempunyai duit di dalam saku, pernah menumpang di rumah orang dan menebalkan muka menjejakkan kaki ke pajak gadai.

Namun semua yang berlaku adalah ujian sama ada mereka tabah menghadapi atau mengundurkan diri apabila musibah melanda.

Memulakan bicara pada pertemuan di kediaman mewah pasangan bahagia ini di Gombak, Datin Norzaina atau mesra dengan sapaan Ira berkata, mereka bertemu ketika kedua-duanya bekerja di sebuah hotel lima bintang di Pulau Pinang.

Pada ketika itu, Prof. Ibrahim memegang jawatan sebagai ketua dan Ira yang baru masuk bekerja mendapat perhatian daripada Prof. Ibrahim yang pada masa itu berumur 34 tahun.

''Baru dua hari bekerja, saya demam. Prof. yang banyak mengambil berat dengan membawa saya berjumpa doktor.

''Dari situ, hubungan kami rapat. Sudah jodoh, dua minggu selepas itu, Prof. hantar rombongan meminang. Saya bagi tempoh paling awal satu tahun dan paling lambat dua tahun kerana waktu itu umur saya baru 20 tahun. Namun tiga bulan selepas bertunang, kami berkahwin,'' ujar Ira ramah.

Bagaimanapun tambah Ira, ujian pertama bermula apabila Prof. Ibrahim mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak mahu makan gaji, sebaliknya hendak memulakan perniagaan.

Tetapi masalahnya, beliau tidak tahu di mana hendak bermula dan perniagaan apa yang hendak dijalankan. Bulan demi bulan Prof. Ibrahim tidak bekerja dan pelbagai masalah mula timbul sehingga beliau benar-benar buntu.

''Bermacam-macam jenis perniagaan saya sudah buat seperti jualan langsung, insurans, runcit, jual kain, lidi sate dan sebagainya. Pendek kata, sebanyak 23 jenis kerja yang saya telah buat.

''Saya menyimpan tekad bahawa satu hari nanti saya mesti berjaya. Syukur kerana Ira tetap teguh berdiri di samping dan menyokong apa yang saya lakukan,'' tegas Prof. Ibrahim yang dianugerahkan Darjah Setia Mangku Pakoe Bowono daripada Kraton Surakarta Hadiningrat yang membawa gelaran Datuk.

Beliau berkata, selepas berpindah menumpang dari satu rumah ke satu rumah, akhirnya beliau mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib pada tahun 2003.

Bersama-sama anak sulung yang baru berusia 44 hari ketika itu, mereka tiga beranak yang berpindah sehelai sepinggang ke Kuala Lumpur menyewa sebuah rumah kecil.

Dengan bermodalkan sedikit wang, Prof. Ibrahim memulakan perniagaan Aura Seri dan kursus motivasi secara kecil-kecilan.

Pada awalnya tidak ramai yang mengetahui mengenai kursus motivasi yang beliau jalankan, namun lama kelamaan ia mendapat sambutan hebat dan amat menggalakkan.

Bakat yang ada tidak dipersiakan dan hari ini setelah lapan tahun, Prof Ibrahim yang merupakan pengasas program Millionaire Mindpower dan pemilik syarikat Dr. Ibrahim Training & Consultancy amat bersyukur kerana limpahan rezeki yang dikurniakan.

Sementara Ira pula kini yang dahulunya tidak mengetahui apa-apa mengenai imej dan penampilan diri merupakan pengasas Aura Seri Spa and Beauty dan mampu memberikan kursus imej serta penampilan kepada beribu-ribu wanita.

Kerana kesungguhannya, beliau dianugerahkan Anugerah Personaliti dan Imej Terbaik 2011 dari Universiti Teknologi Mara dan Anugerah Usahawan Muda 2011 oleh Universiti Malaya.

Beliau juga merupakan finalis Wanita Ikon 2005, Mentor Program Peruncitan Bumiputera Mara 2007, 2008,2009, 2010 dan 2011.

''Program yang kami kendalikan merupakan program motivasi yang menyuntik semangat positif untuk mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan dan sebagainya, untuk para pelajar serta mereka yang perlu memilih imej yang betul dan sesuai.

''Kami gembira kerana dapat membantu orang Melayu, memberi inspirasi kepada mereka dan berkongsi dengan mereka apa yang telah kami lalui,'' ujar Prof. Ibrahim yang telah 12 tahun menjalankan program motivasi dan imej.

Dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Danish Irfan, 12 tahun dan Muhammad Danish Roshan, lapan tahun, Prof. Ibrahim mengakhiri perbualan dengan berkata, kemanisan hidup berumahtangga mereka adalah kerana mereka sama-sama pernah hidup susah, sama-sama senang, saling mengingati dan saling menginsafi.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.