Kenali Jabatan Imigresen Malaysia


SAMA ada secara manual atau automatik di 897 kaunter di 64 pintu masuk dan keluar negara, bahagian pengurusan itu sering dikaitkan dengan Jabatan Imigresen.

Isu kawalan keselamatan begitu sinonim dengan jabatan itu namun tugasnya tidak terhad kerana turut membantu usaha kerajaan mewujudkan negara berpendapatan tinggi.

Jabatan Imigresen kini tidak lagi dibayangi pasport semata-mata kerana integriti menjadi senjata utama bagi mendepani perubahan era baru dalam perkhidmatan awam.

Wartawan Mingguan mStar, IWAN SHU-ASWAD SHUAIB menemuramah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, DATUK ALIAS AHMAD mengenai agenda jabatan itu sempena sambutan Hari Imigresen Ke-13 pada 1 Disember, baru-baru ini.

‘Perkhidmatan kualiti dan berintegriti’ merupakan salah satu daripada tiga teras utama dalam Program Transformasi Jabatan Imigresen 2011.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, setiap perbuatan dan perkhidmatan pegawai kepada masyarakat harus berteraskan integriti.

“Pendekatan tersebut merupakan satu langkah penambahbaikan perkhidmatan dan tidak mahu dikaitkan dengan isu-isu melibatkan pegawai bermasalah.

“Ia adalah simbol kepada teras utama (pelan transformasi). Justeru, Jabatan Imigresen memperkenalkan Lencana Integriti kepada 12,000 pegawai di seluruh negara sebagai penghormatan dan peringatan terhadap tanggungjawab mereka,” katanya.

Pelan Transformasi 2011 memfokuskan sistem penyampaian merangkumi tiga teras utama iaitu pembaharuan perkhidmatan, integriti dan kebajikan.

Alias berkata, pencapaian paling utama adalah sistem biometrik, Program 6P bagi bahagian Pendaftaran, MyPasport Online dan pas residen.

“Kita turut melaksanakan beberapa pembaharuan seperti I-pass, visa elektronik di China, pembukaan cawangan baru, kempen 3s (Senyum, Sapa dan Sopan), pejabat Imigresen bergerak dan media sosial rasmi (Facebook dan Twitter),” katanya.

Jelasnya, Jabatan Imigresen perlu selari dengan dasar-dasar nasional seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menurut beliau, Jabatan Imigresen berusaha melaksanakannya menggunakan sumber sedia ada meliputi bajet, kakitangan dan infrastruktur dengan sepenuhnya.

“Cabarannya adalah mengekalkan kapasiti sedia ada tetapi berupaya memberi impak lebih besar dan mencapai matlamat menggunakan Strategi Lautan Biru,” katanya.

Luar negara

Wawasan Jabatan Imigresen tidak hanya terhad di dalam negara kerana ia turut melibatkan rancangan untuk memperkasakan tanggungjawabnya di luar negara.

Alias berkata, terdapat rancangan untuk membuka Pejabat Atase Imigresen di empat bandar besar iaitu Jeddah, Paris, Bangkok dan Manila.

“Ia sudah pun mendapat kebenaran daripada Kerajaan Malaysia untuk menubuhkannya dan bergantung pada kerajaan di negara-negara berkenaan.

“Kita berharap ia dapat dibuka cepat mungkin. Keutamaan kita adalah Paris dan Jeddah. Ini kerana bahagian Eropah terutama rakyat di negara-negara sub-kontinen pada masa ini terpaksa berurusan di London manakala di Jeddah pula dapat membantu jumlah pelajar rakyat Malaysia yang besar di Arab Saudi,” katanya.

Pada masa ini, Jabatan Imigresen mempunyai 27 pejabat atase di luar negara seperti di London, Beijing, New York, Jakarta, Medan dan Songkhla.

“Kita sudah pun membuka pejabat atase di Yangon, Myanmar pada 1 Oktober lalu berikutan jumlah pekerja rakyat negara itu di Malaysia adalah besar iaitu kira-kira 200,000 orang. Bilangan itu termasuk mereka yang mendaftar dalam Program 6P.

“Bilangan pekerja asing yang banyak dan proses permohonan pas dan visa memerlukan kepakaran menyebabkan penubuhan pejabat atase di sana,” katanya.

Menurut Alias, pejabat atase turut diwujudkan atas keperluan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di sesebuah tempat di negara itu.

“Sebagai contoh, kita membuka Pejabat Atase Imigresen di Melbourne, Australia di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Victoria sejak September lalu.

“Ini kerana terdapat kira-kira 35,000 rakyat Malaysia berdaftar berada di negeri itu. Kita menyediakan kemudahan memperbaharui pasport,” katanya.

Beliau menambah, pejabat atase turut memproses permohonan visa dan pas bagi rakyat asing yang mahu datang ke Malaysia. “Sebelum ini mereka terpaksa pergi ke Canberra untuk menyelesaikan perkara tersebut dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Alias berkata, Pejabat Atase Imigresen jelas membantu dalam urusan imigresen berikutan dianggarkan seramai sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara.

“Ia bukan sahaja dapat melancarkan operasi dan meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat bahkan menggalakkan kemasukan pelancong asing ke Malaysia,” katanya.

Atas Talian

Bertemakan Ke Arah Perkhidmatan Imigresen Atas Talian, Hari Imigresen Ke-13 menekankan medium itu dalam perkhidmatannya akan datang.

Perkhidmatan atas talian memudahkan masyarakat berurusan di mana-mana pada bila-bila masa tanpa perlu datang ke kaunter cawangan imigresen.

Alias berkata, berkonsepkan ‘silent office’ (pejabat senyap) turut memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan serta meningkatkan integriti perkhidmatan.

“Sebagai contoh, terdapat 1.8 juta pekerja asing berdaftar di negara ini. Dengan kapasiti pegawai yang terhad, mereka perlu menguruskan proses pembaharuan pas.

“Menerusi pendekatan atas talian, sistem yang kukuh dapat melancarkan pengesahan bagi urusan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan atas talian turut menjimatkan kos pengurusan dan mengurangkan tekanan kerja serta meningkatkan kecekapan operasi.

Jabatan Imigresen sudah memperkenalkan permohonan memperbaharui pasport (MyOnline Pasport) dan memperbaharui permit pembantu rumah asing.

Urusan atas talian bagi permohonan memperbaharui pas pekerja asing, pas penggajian, permit masuk dan pas residen akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Perkhidmatan Imigresen pada hari ini telah ditransformasikan di mana Jabatan Imigresen pergi kepada anda dan lebih dekat dengan anda.

“Dengan kata lain, perkhidmatan Imigresen hari esok bermula pada hari ini. Begitulah perspektif perkhidmatan awam agar cekap, efektif, pantas dan tepat,” kata Alias.

- MSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.