T-Team hilang bintang utama


SEMI finalis Piala Malaysia 2011, T-Team menerima tamparan hebat dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila tiga tonggak utamanya disahkan meninggalkan kelab itu. Tiga pemain berkenaan, masing-masing adalah dua bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhammad serta bekas pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2009, Haris Safwan Kamal.

Pengurus T-Team, Rozi Mamat ketika mengesahkan perkara itu berkata, ketiga-tiga pemain terbabit telah bertemu dengan pihak pengurusan dan meminta pelepasan untuk menyertai pasukan lain.

Dikhabarkan, Indra dan Norfarhan yang menjadi tonggak utama kepada kejayaan T-Team melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini, dikaitkan dengan penghijrahan ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kendalian B. Sathianathan.

Haris pula dikatakan mendapat beberapa tawaran daripada pasukan lain termasuk Sabah.

“T-Team akui mereka adalah tonggak utama dalam pasukan sepanjang musim ini, namun pihak pengurusan tetap menghormati keputusan mereka yang ingin dilepaskan.

“Ia mungkin satu cabaran buat kami apabila kehilangan khidmat Indra dan Norfarhan termasuk Haris, tetapi kami masih mempunyai barisan pemain yang baik.

“Jadi, saya tidak perlu bimbang mengenai persediaan pasukan,” kata Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu.

Mengulas mengenai kedudukan ketua jurulatih, Yunus Alif, Rozi turut mengesahkan jurulatih berkenaan akan terus membimbing T-Team bagi saingan musim depan.

Bagaimanapun, jelas beliau, mesyuarat pengurusan tertinggi T-Team yang dibuat semalam telah membuat keputusan untuk menggugurkan enam pemain termasuk pertahanan berpengalaman, Subri Sulong.

Lima lagi pemain lain adalah Kamal Rodiarjat Mohd. Ali, Amzar Junaidi Abdul Jalil, Rosli Muda, Ismail Abdul Rahman dan Sazlan Alias.

Mengenai kedudukan penyerang Fitri Omar yang dipinjamkan dari kelab MP Muar bagi kempen Piala Malaysia baru-baru ini, Rozi menjelaskan, pihaknya masih belum mendapat kepastian mengenai kedudukan pemain itu.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.