Jumlah kakitangan awam mengikut keperluan

Bilangan penjawat awam dalam sektor kerajaan ketika ini adalah menetapi keperluan semasa dan selaras dengan permintaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan sendiri telah mengambil pendekatan untuk mengurangkan pengambilan pekerja baru sejak dua tahun lalu setelah mengambil kira penggunaan teknologi secara optimum.

"Ini bermakna bilangan penjawat awam yang ada kini adalah mencukupi dan tidak perlu dikurangkan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis konvokesyen perantisan kali pertama Akademi Tesco sebagai pusat latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Malah Subramaniam berkata, tiada pihak yang boleh menamatkan kontrak pekerja sedia ada sewenang-wenangnya kerana perkara tersebut bakal mengundang pelbagai masalah kepada semua.

Sehubungan itu, beliau meminta, Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan secara membuta-tuli serta tanpa asas yang kukuh.

"Saya tidak setuju dengan kenyataan itu. DAP perlu sedar tentang konsep bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah selaras dengan keperluan dan bukan sebaliknya," katanya.

Ekonomi negara boleh terjejas


Jumlah penjawat awam yang kini berkhidmat dengan kerajaan tidak harus dipertikaikan kerana ia bersesuaian bagi memastikan kecekapan tadbir urus sektor tersebut.

Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin berkata, langkah meminimumkan jumlah sedia ada hanya akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Ia hanya akan menyebabkan urusan melibatkan orang awam dengan kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan cepat.

"Malah, kita akan berhadapan dengan ketidakcekapan mengurus sektor awam yang secara tidak langsung memberi kesan dan menjejaskan ekonomi negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Amir Hussin, jika langkah itu diambil ia akan menyebabkan kerajaan tidak menepati peranannya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

"Salah satu peranan kerajaan adalah sebagai majikan dan dengan mengecilkan jumlah kakitangan awam yang hanya membabitkan 1.2 juta daripada 11.4 juta orang yang bekerja di negara ini, ia bukan langkah terbaik kerana akan meningkatkan kadar pengangguran," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh berpendapat langkah mengurangkan bilangan penjawat awam bukanlah sesuatu yang bijak.

"Penjawat awam merupakan satu komponen terbesar dalam sektor ekonomi dan merupakan antara pengguna yang memiliki kuasa beli terbesar.

"Oleh itu, mengurangkan jumlah kakitangan awam secara tidak langsung akan menyebabkan kuasa membeli menurun dan memberi impak kepada ekonomi negara," katanya.

Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, pengurangan kakitangan akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dan tidak mustahil kes-kes jenayah juga bertambah.

"Sekiranya kadar jenayah meningkat, dibimbangi sektor pelancongan akan menerima kesan apabila pelancong bimbang datang ke Malaysia dan ini boleh menjejaskan ekonomi negara," katanya.

- UTUSAN Jumlah kakitangan awam mengikut keperluan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.