CIMB Bank melancarkan kad debit


CIMB Bank optimis mengeluarkan sejuta kad debit baru setahun bermula tahun depan, seiring dengan pelancaran kad Debit MasterCardnya, kelmarin.

Ketua Perkhidmatan Runcit CIMB Bank, Peter England berkata, daripada jumlah itu, pihaknya menjangka penggunaan antara 15 hingga 20 peratus.

“Ketika ini kami menerima kunjungan antara 70,000 hingga 80,000 dan kadangkala mencecah 100,000 pelanggan sebulan. Oleh itu, kami yakin akan mengeluarkan sejuta kad (debit) setahun.

“Buat masa ini kami tidak bercadang mewajibkan semua pelanggan kami menukarkan kad lama mereka kepada kad debit baru, namun akan mempertimbang untuk berbuat demikian jika peratusan pemegang kad debit ini mencecah sehingga 80 peratus pada masa akan datang,” katanya selepas majlis pelancaran kad baru terbabit di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, ketika ini, penggunaan kad debit CIMB Bank tidak sampai 0.5 peratus disebabkan pelanggan serta rakan dagang tidak tahu mengenai kewujudan perkhidmatan berkenaan yang ditawarkan bank berkenaan.

“Berikutan itu kami memutuskan untuk memilih rakan niaga ternama iaitu MasterCard yang mempunyai hubungan baik dengan kami sejak sekian lama,” katanya.

Kad debit berkenaan menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelanggan antaranya diskaun daripada lebih 80 peniaga yang mengambil bahagian jika berbelanja di premis mereka.

Pengguna juga boleh menebus rebat tunai sebanyak satu peratus bagi setiap pembelian petrol atau barangan harian dengan kad debit berkenaan, sekali gus membantu mereka berjimat selain merancang perbelanjaan dengan lebih berkesan.

- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.