Maybank sasar jadi ikon global


Selepas bertapak kukuh sebagai bank perdagangan terbesar negara dan berkembang ke peringkat serantau, Malayan Banking Bhd. (Maybank) menanam hasratnya untuk muncul sebagai ikon global.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, untuk mencapainya, Maybank meletakkan kedudukannya pada dua asas - menjadi bank terbaik di Malaysia dan muncul sebagai peneraju kewangan serantau pada 2015.

Menurut beliau, untuk menggapai matlamat itu, Maybank mesti memperbaiki kedudukannya sebagai bank terbaik di kalangan institusi kewangan negara.

‘‘Asas ini perlu dicapai terlebih dahulu sebelum Maybank mampu mencapai kedudukan sebagai peneraju kewangan serantau dalam tempoh empat tahun lagi.

‘‘Saya akui ia cukup mencabar, baik kepada Maybank mahupun kakitangan namun mereka tiada alasan lain kecuali terus memperbaiki perkhidmatan dan memastikan perkhidmatan Maybank mencapai jangkauan para pelanggan.

‘‘Jika kita gagal untuk mencapainya, bagaimana Maybank mahu menjadi peneraju kewangan serantau? Nanti ramai pula akan mempertikai keupayaannya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini.

Pada masa yang sama, Megat Zaharuddin yakin dengan keupayaan masa depan Maybank di peringkat sejagat dan untuk mencapainya entiti itu perlu lebih terbuka untuk diterajui sesiapa sahaja tanpa halangan kaum dalam usaha melonjakkannya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Maybank akan memerlukan orang yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa tetapi keutamaan perlu diberikan kepada warga Maybank sendiri.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan barisan pelapis pengurusan peringkat atasan yang mantap untuk menerajui tampuk kepimpinan seterusnya pada masa akan datang.

Katanya, Kumpulan Maybank kini memberi penekanan dan tumpuan serius terhadap latihan kepada kakitangannya.

Latihan itu bagi memastikan setiap kakitangan Maybank mempunyai segala pengetahuan mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, selain mematuhi standard terbaik dalam operasi harian mereka.

Katanya, sekiranya boleh, Maybank mahukan kakitangannya memberikan perkhidmatan terbaik.

‘‘Aspek ini sangat penting kerana sebagai sebuah bank komuniti, kami bukan sahaja mahu Maybank menjadi bank pilihan rakyat Malaysia tetapi yang lebih utama kesetiaan mereka kepada Maybank.

‘‘Bagi saya pelanggan adalah jiran yang paling rapat dan sekiranya kami mampu memberi kesejahteraan kepada mereka, mereka juga boleh membuatkan kami sejahtera,” katanya dengan penuh makna.

Megat Zaharuddin berkata, kesetiaan pelanggan Maybank merupakan tunggak utama yang mengekalkan kedudukannya hari ini biarpun cuba disaingi bank-bank asing.

Beliau menyedari bank-bank asing cuba memberi persaingan hebat kepada Maybank melalui pelbagai cara tetapi pembaharuan dalam pelbagai aspek menjadikan Maybank terus kukuh dan menjadi pilihan.

‘‘Harapan kami adalah biarpun datang pesaing baharu, Maybank tetap menjadi pilihan utama,” katanya.

Selain itu, Megat Zaharuddin menambah, Maybank kini giat memperkukuhkan jenamanya dan memastikan ia sentiasa mendapat perhatian rakyat Malaysia.

‘‘Kami juga mahu rakyat Malaysia berbangga dengan Maybank dan mengetahui semua operasi Maybank di dunia,” tambahnya.

Megat Zaharuddin yakin dan percaya semangat utuh ‘Maybank’ di kalangan kakitangannya serta kombinasi bakat-bakat yang pelbagai mampu menjadikan bank itu sebagai ikon global pada masa depan.

‘‘Saya cukup percaya barisan pengurusan atasan yang baik, diperkukuh pula dengan kepelbagaian budaya bakat-bakat akan menjadi asas kombinasi kepada kekuatan dan kelebihan Maybank pada masa depan.

‘‘Ketika itu, bank-bank lain bukan sahaja tidak berupaya mengklonkan Maybank tetapi Maybank sukar dikalahkan. Insya Allah,” katanya dengan penuh harapan.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.