13,000 guru J-QAF diperlukan

Kementerian Pelajaran memerlukan kira-kira 13,000 lagi guru bagi program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) bagi menampung kekurangan guru program itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini hanya terdapat 14,000 guru J-Qaf yang mengajar di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.

"Cadangan untuk dilaksanakan program J-Qaf di sekolah menengah belum dapat dilaksanakan hingga hari ini kerana masalah untuk mendapatkan guru J-Qaf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan Keempat di Masjid Al-Azim di Melaka.

Dr. Mohd Puad berkata, terdapat cadangan bagi memberi peluang kepada guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dilatih menjadi guru J-Qaf.

Bagaimanapun, kementerian menggalakkan mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang berkenaan terutama lepasan universiti tempatan dan negara Timur Tengah memohon jawatan guru J-Qaf.

Beliau berkata, program J-Qaf banyak mencapai kejayaan terutama peningkatan tahap penguasaan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain kepada pelajar yang mengikuti program itu.

Mengenai laporan akhbar hari ini yang mendakwa ganjaran kewangan kepada guru besar dan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipercayai menjadi punca beberapa calon kurang pandai dihalang sekolah daripada menduduki peperiksaan, Dr. Mohd. Puad berkata, ganjaran bukan puncanya.

"Pada saya, ini lebih kepada masalah kemungkinan ada satu, dua guru besar yang tidak faham dasar Kementerian Pelajaran sendiri.

''Mereka ambil jalan mudah terhadap pelajar yang mungkin mereka katakan ada masalah untuk menduduki peperiksaan tersebut, sebab itulah berlaku kes seperti ini.

"Kadangkala kita (guru dan guru besar) terlalu dirasuk kepada peperiksaan untuk mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran, iaitu 5A atau 10A, itu juga yang menjadi puncanya," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Pelajaran Daerah perlu terus memperingatkan guru besar dan pengetua bahawa mereka tidak ada hak untuk menghalang seseorang pelajar daripada menduduki peperiksaan.

Baru-baru ini, beberapa calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira, Baling, Kedah dan SK Bandar Bintangor, dalam bahagian Sarikei, Sarawak dihalang menduduki peperiksaan tersebut kerana dianggap lemah dan boleh menurunkan prestasi peperiksaan sekolah.

- BERNAMA 13,000 guru J-QAF diperlukan

1 comment... add one now

Tanpa NamaTanpa Nama Sabtu, 16 Mei 2015 pada 9:13:00 PG SGT
assalamualaikum
saya ingin bertanya mengenai pelaksanaan norma baharu guru pendidikan islam.

adalah sekolah yang hanya mempunyai seorang guru pendidikan islam wajib menambah masa mengajar seperti yang terdapat dalam pekeliling ini??

saya mengajar di sekolah yang kurang murid islam (hanya 9% daripada jumlah keseluruhan murid sekolah). jumlah waktu mengajar saya ialah 36 waktu. jika ditambah seperti dalam pekeliling menjadikan jumlah waktu saya ialah 52 waktu..

jumlah waktu ini sangat membebankan guru pendidikan islam yang hanya seorang mengajar mata pelajaran ini di sekolah.

perkara ini harus dipandang serius..

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.