Sumpah laknat boleh disalaherti

Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat tertentu bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya.

Apabila ia dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan kebenarannya kepada Allah.

Tindakan itu bagi menguatkan lagi dakwaan atau bantahan mereka menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat.

Ramai bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang politik.

Sebenarnya, perkara berkenaan sumpah seelok-eloknya tidak digunakan kerana saya melihat isu sumpah dengan nama Allah dijadikan senjata dalam hal politik. Bagi saya, ini kurang sihat.

Menyentuh hal ini, menjadi satu kemestian bahawa hukum serta pelaksanaannya disandarkan berpandukan dalil khusus daripada al-Quran mahupun hadis yang sahih.

Kemudian, hal itu mesti disemak sebelum sesuatu sumpah diterima orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanah air dalam hal sumpah laknat, saya bersetuju dengan pandangan yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu: l Tidak perlu disebabkan proses mahkamah adalah lebih perlu. Ia bagi menjamin keadilan bagi semua pihak.

Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah mesti dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup l Tidak Terpakai. Sumpah laknat dengan nama Allah dikira tidak terpakai atau sah kerana sumpah laknat atau ‘lian’ hanya wujud untuk urusan suami isteri, iaitu apabila suami menuduh isteri mereka berzina.

Ini sebagaimana wujud peruntukan di dalam al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8, yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi selain diri sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia termasuk orang- orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang berdusta.” Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah tindakan salah atau reka cipta dalam urusan agama yang tidak dibenarkan Islam. Ia ditegah seluruh ulama berdasarkan dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa asas atau sandaran dalil l Mengelirukan. Protokol sumpah itu dilaksanakan secara mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat. Ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukan satu keperluan. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam saja (tidak bersumpah).” (Riwayat Al-Bukhari) Menurut mazhab Hanafi dan Hambali, melakukan sumpah di dalam masjid adalah ‘harus’ sebagaimana hadis yang menceritakan pernah wujud kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami dan isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi SAW. (Fath Al-Bari) Bagaimanapun, mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah makruh. (Fath al-Aziz) Apapun, kita tidak mahu kaedah dan cara, khususnya memegang al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid itu, menjadi kebiasaan masyarakat.

Ia dikhuatiri boleh disalah tafsir orang ramai yang merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah lian, sedangkan sumpah laknat yang sebenarnya perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, diikuti yang kelima sumpah laknat dan ia tidak untuk tontonan dan sebaran awam l Sumpah ‘mubahalah’ juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua pihak bertemu dan sama-sama bersetuju.

Bagaimanapun, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi’ atau ‘wattallahi” atau satu antara lafaz itu juga mencukupi.

Namun sumpah biasa ini sepatutnya hanya dilakukan sesudah ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukakan di mahkamah.

Bayyinah yang disebut sangat perlu bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah daripada tertuduh, tanpanya sumpah tertuduh tidak wajib sama sekali.

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) menjelaskan untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti dipersetujui beberapa ulama lain.

Kes itu pula mesti membabitkan kes seperti dinyatakan, iaitu: l Zina dan liwat. Syarat untuk penuhi bayyinah dalam kes ini memerlukan empat saksi adil atau pengakuan pelaku itu sendiri l Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya. Bagi memenuhi syarat ini, saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan l Jual beli dan lain-lain pertikaian membabitkan isu harta dan pemilikan kewangan. Dalam kes ini pula, dua saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua wanita diperlukan (sebagaimana disebut di dalam al-Quran) dan sumpah dibenarkan l Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat ‘edah’. Syarat yang mesti dipatuhi adalah dengan adanya seorang wanita yang adil Justeru perlu ditegaskan, dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu yang pertama, ikrar atau pengakuan sukarela secara insaf si pelaku.

Pelaku perlu mengakui dia melakukan kesalahan itu seperti mencuri, zina, liwat atau membunuh, sebagaimana dilakukan Ma’iz bin Malik Al-Aslami pada zaman Rasulullah.

Sesudah bayinnah dilakukan, baru proses bantahan dibuka. Ini kerana, setiap asal individu adalah tidak bersalah selagi dibuktikan sebaliknya.

- HARIAN METRO Sumpah laknat boleh disalaherti

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.