UPSI terus perkasa P&P

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yakin proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berkonsepkan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar atau Student Centered Learning (CSL) dapat meningkatkan kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Menyedari pentingnya pendekatan itu, Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Aminah Ayob, berkata pihaknya terus memperkasa aktiviti penyelidikan menjurus kepada penemuan modul P&P untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan sedia ada.

Beliau berkata, sejumlah peruntukan disediakan bagi merealisasikan hasrat itu termasuk menambah prasarana dan pelbagai kemudahan lain disediakan bagi menjayakannya.
Kaedah pengajaran secara CSL, katanya membuka ruang proses pembelajaran secara aktif, meneroka penyelidikan, memupuk kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah selain menekankan kualiti untuk pasaran terbuka.

“Kajian pembelajaran turut mengambil kira kreativiti, penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran bersifat global,” katanya ketika menyampaikan amanatnya bagi tahun 2011 bertajuk “ Pendidikan Abad Ke-21: UPSI Memacu Ke Hadapan”.

Aminah berkata, UPSI menyediakan geran bagi menjayakan penyelidikan berimpak tinggi selain memberi tumpuan kepada aktiviti memasarkan hasil berkenaan untuk dimanfaatkan bersama.

Semua penyelidikan kata beliau, perlu disiapkan dalam masa singkat dan kakitangan akademik dimestikan memohon Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan antarabangsa.
Selain itu, katanya, usaha UPSI itu dimantapkan dengan penubuhan Strategic Innovation Management Office (SIMO) untuk melaksanakan pelan tindakan inovasi.

“Pusat kecemerlangan UPSI iaitu Institut Pedagogi dan Inovasi Pendidikan turut menyelaras Pusat Kajian Pedagogi, Pusat Penyelidikan Teknologi Pendidikan dan Pusat Penilaian Pendidikan diharap terus memacu kejayaan.

“Pengembangan niche UPSI memberi tumpuan kepada Pembelajaran, Pengajaran, Penilaian, Teknologi dan Pengetahuan Terkehadapan selain Majlis Cendikiawan yang berfungsi sebagai pakar rujuk ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata, UPSI juga bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru dalam usaha menubuhkan Konsortium Penyelidikan.

Penubuhan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Guru – Tuanku Bainun (Centre for Research in Teacher Education) pula, kata beliau, sejajar dengan usaha menekankan proses pendidikan berasaskan industri kreatif.

“Pengkelasan penting bagi memastikan kebitaraan UPSI sebagai institusi berasaskan pendidikan terus relevan dalam melahirkan pendidik berwibawa selain menghasilkan penemuan modul P&P inovatif, “ katanya.

- BERITA HARIAN UPSI terus perkasa P&P

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.