Jaringan kerjasama sekat wang kutu haram - Skim Cepat kaya

Jika dahulu tiada siapa yang menyangka tanaman serai, ternakan udang, cacing, lembu, ikan patin dan sarang burung apatah lagi urusan pengendalian tanah kubur boleh dijadikan pelaburan tetapi semuanya kini sudah berubah.

Disebabkan kreativiti luar biasa lantaran mahu meraih pulangan lumayan, ada yang sanggup mempergunakan bidang tersebut untuk menarik orang ramai menceburi skim yang mereka tawarkan.

Misalnya ada penganjur yang bertunjangkan jihad ke arah memakmurkan ekonomi Melayu dan tidak kurang juga yang memainkan sentimen agama, jihad sesama Islam.

Lebih 'kreatif' lagi ada juga penganjur yang tidak mempunyai sebarang produk untuk ditawarkan tetapi mereka beroperasi semata-mata menggunakan mekanisme kitaran yuran keahlian dan down line.

Setiap ahli yang menganggotainya mestilah membayar yuran keahlian yang ditetapkan misalnya RM2,000 dan bagi setiap ahli baru yang dibawa masuk (down line), penganjur akan membayar komisen RM500 selain meraih 'keuntungan atas angin' menerusi yuran yang dikenakan bagi setiap kepala yang menyertai skim itu.

Namun apabila diminta supaya menjelaskan apakah barangan yang diniagakan, penganjur mengakui, sebenarnya mereka tiada sebarang produk untuk ditawarkan.

Kesimpulannya, penganjur sebenarnya memperniagakan wang orang ramai yang dikutip menerusi yuran keahlian dan urus niaga ini lazimnya dibuat menggunakan kiriman wang pos semata-mata.

Rumusan itu dibuat oleh Pengarah Kanan Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhammad Redzuan Abdullah ketika ditemu bual Utusan Malaysia di pejabat beliau baru-baru ini.

Beliau berkata, semakin ramai keahlian, semakin meningkat dana yang diperoleh penganjur namun wang itu tidak berkembang kerana tidak dapat dilaburkan kepada institusi yang sepatutnya.

Penganjur memperoleh keuntungan lumayan yang tidak sepatutnya mereka dapat di pasaran terapung. Bukan itu sahaja, tanpa disedari perbuatan tersebut juga sebenarnya dilarang di bawah Seksyen 3 Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971.

Ia seperti yang diperjelaskan di bawah Seksyen 2(1) akta tersebut iaitu rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan pelbagai nama seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine iaitu peserta membayar yuran secara berkala.

Atau kepada satu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang itu dijual atau dibayar kepada peserta dengan cara lelongan, tender dan undian.

Ia berbeza dengan wang kutu secara tradisional yang tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukan menjurus kepada unsur perniagaan dan tidak mendatangkan sebarang keuntungan.

Berikutan itu, dengan melihatkan jumlah denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan, Muhammad Redzuan mengakui berapa sangat jumlah itu berbanding keuntungan diraih penganjur perniagaan pengumpulan wang kutu.

Pada hakikatnya, ujar beliau, jumlah denda bagi undang-undang yang digubal pada 1971 itu tidak lagi sesuai dengan ekonomi negara pada masa ini dan perlu dipinda dengan segera.

Justeru, menurut Muhammad Redzuan, SSM telah mengemukakan cadangan agar mana-mana individu yang melakukan penipuan dengan cara demikian, harta atau akaun mereka boleh disita.

Menurutnya, ini dapat dilakukan dengan mewartakan kesalahan di bawah Seksyen 3 akta itu sebagai kesalahan predikat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Selain itu, melalui pindaan yang dicadangkan, hukuman bagi kesalahan itu juga akan diubah iaitu denda daripada RM5,000 akan ditingkatkan kepada RM500,000 manakala hukuman penjara pula ditambah dari tiga tahun kepada 10 tahun.

Di samping itu, Muhammad Redzuan berkata, SSM telah membuat cadangan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meminda Akta Syarikat bagi membolehkan suruhanjaya itu mempunyai kuasa membekukan aset skim-skim pelaburan yang dijalankan secara tidak sah.

Ini berikutan pada masa ini, proses pembekuan aset bagi skim pelaburan tidak sah yang disiasat oleh SSM memakan masa yang agak lama memandangkan kesalahan tersebut tidak dikategorikan sebagai kesalahan di bawah AMLATFA.

Menurut Muhammad Redzuan, sering kali juga sementara menunggu Jabatan Peguam Negara mengeluarkan Perintah Pembekuan di bawah AMLATFA, aset yang terlibat sudah dilesapkan oleh penganjur skim tersebut.

Beliau juga mengakui walaupun telah diambil tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi lain, penjenayah terbabit masih boleh menubuhkan syarikat kerana Pendaftar Syarikat tidak tahu-menahu mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

Namun dengan adanya kerjasama dan tindakan bersepadu ini maka jaringan perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan akan terbina untuk membanteras jenayah tersebut.

Demi memastikan lagi kelancaran proses penguatkuasaan itu, kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasaan melibatkan jenayah kolar putih telah ditubuhkan pada Mac tahun lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK).

Selain SSM dan BNM, agensi-agensi lain yang menyertai jawatankuasa khas bersama itu adalah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian PDNKK, dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Melalui jaringan kerjasama tersebut, mana-mana pihak yang telah diambil tindakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan disenaraihitamkan oleh SSM mengikut Seksyen 130 Akta Syarikat 1965.

Berdasarkan peruntukan itu juga, sesiapa yang disabitkan bagi kesalahan menipu atau melakukan kecurangan, akan hilang kelayakan sebagai pengarah syarikat selama lima tahun.

Tindakan sedemikian diambil semata-mata untuk menyekat pertumbuhan pesat aktiviti jenayah kolar putih itu yang akan memberi implikasi negatif kepada perkembangan ekonomi negara.

Apa pun ceritanya, setiap halangan dan peraturan daripada kerajaan mempunyai kebaikannya yang tersendiri kerana perkembangan kitaran wang tersebut dapat dilihat apabila ia diapungkan di pasaran yang sah dan ia menjamin pulangan yang sewajarnya.

- UTUSAN Jaringan kerjasama sekat wang kutu haram - Skim Cepat kaya

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.