Frekuensi Radio24 di telefon pintar anda


Siaran radio yang terhad di Lembah Klang tidak pernah menghalang stesen radio berita pertama negara, Bernama Radio24 untuk terus menyampaikan maklumat dan berita terkini kepada semua pendengar di seluruh negara.

Bertitik tolak daripada itu, Januari tahun ini telah mencatatkan sejarah tersendiri buat Bernama Radio24 apabila siaran stesen radio itu dapat diakses terus melalui penggunaan aliran mudah alih atau mobile streaming dengan menggunakan telefon pintar seperti BlackBerry atau iPhone.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Radio24, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, menyedari hakikat stesen itu tidak memiliki frekuensi di seluruh negara untuk memancarkan siaran radionya, penggunaan telefon pintar adalah langkah baik bagi memperluaskan pendengar stesen itu.

Sheikh Raffie berkata, buat masa ini juga pihaknya menggunakan pancaran yang disewa daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memancarkan siaran stesen itu di Lembah Klang melalui frekuensi 93.9FM.

“Menyedari bajet dan kos untuk memancarkan stesen Bernama Radio24 ke seluruh negara melalui frekuensi amat tinggi jadi kami memilih untuk menggunakan idea ini.

“Aliran mudah alih membolehkan pendengar Radio24 di luar Lembah Klang mendapatkan siaran stesen radio berita pertama di Malaysia.

“Dengan kepelbagaian kandungan berita terpantas dan program menarik lebih ramai pendengar akan mengikuti siaran Radio24,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar di Wisma Bernama baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sheikh Raffie berkata, berdasarkan populasi sebanyak 40 peratus rakyat di negara ini memiliki dan pengguna telefon pintar, pemindahan data dengan kelajuan serba pantas memudahkan penyampaian maklumat menjadi semakin mudah diakses di hujung jari.

Katanya lagi, ia turut menambahkan keyakinan pihaknya untuk meneruskan idea tersebut yang sehingga kini tidak dipelopori oleh stesen radio lain di negara ini.

Mendapat kerjasama daripada syarikat radio Internet, ADA FM, Sheikh Raffie berkata, siaran radio itu bukan sahaja dapat di dengar di negara ini malah di seluruh dunia.

Akses semudah tiga langkah

Bercerita lanjut mengenai langkah untuk mendapatkan siaran Bernama Radio24 melalui aliran mudah alih, Sheikh Raffie berkata, langkah pertama adalah pengguna telefon pintar perlu melayari Internet pada telefon pintar dan melayari www.radio24.ada.fm dan menunggu seketika sebelum satu pop-up muncul.

Selepas itu tanda ‘open’ akan terbuka untuk pengguna BlackBerry dan tanda ‘listen’ akan terpapar untuk pengguna iPhone. Pengguna perlu menekan pada tanda itu dan pemain media akan terbuka secara automatik.

“Cara untuk akses kepada stesen amat mudah dan pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan siaran kerana ia akan terus ke udara tanpa sebarang gangguan.

“Malah tiada bayaran akan dikenakan kepada pengguna,” katanya yang optimis dengan kejayaan stesen radio itu melalui aliran mudah alih.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perubahan program yang akan dilakukan untuk pendengar, Sheikh Raffie berkata buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menukar program sedia ada tetapi akan menguatkan pengisian supaya lebih kuat.

Pihaknya juga tidak akan menambah bilangan rancangan berbahasa Inggeris kerana bahasa Malaysia adalah identiti stesen radio itu.

“Setakat ini kita akan mengekalkan 60 peratus program berbahasa Malaysia dan selebihnya dalam bahasa Inggeris.

“Mungkin kita akan menambah waktu program berbahasa Inggeris yang sebelum ini bermula pada pukul 9 malam sehingga 6 pagi kepada pukul 8 malam sehingga 6 pagi,” katanya.

Malah katanya program seperti Kopi Panas dan Kerusi Panas mendapat perhatian pendengar dengan jumlah pendengar yang agak tinggi walaupun hanya di Lembah Klang dan akan memperkemaskan kandungan program itu untuk pendengar di luar Lembah Klang.

“Kandungan siaran akan menjadi lebih kompetitif dalam mempengaruhi bilangan pendengar. Jadi penumpuan itu akan kita berikan untuk tahun ini,” katanya.

Sheikh Raffie berkata, ketiadaan spektrum untuk memancar secara bebas ke udara ke seluruh tanah air bukan lagi penghalang dalam usaha menyampaikan berita dan maklumat berterusan kepada rakyat Malaysia.

“Mendengar radio melalui telefon pintar adalah trend masa depan yang dijangka menjadi kebiasaan khususnya apabila kelajuan pindahan data mudah alih semakin pantas,” katanya.

- MSTAR

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.