Keganasan terhadap wanita


Tahukah anda, sebarang perkataan yang dilafazkan oleh suami atau bapa terhadap isteri atau anak perempuannya yang boleh merendahkan maruah (self esteem) individu berkenaan dikategorikan sebagai penderaan atau keganasan emosi pelaku terhadap individu itu?

Justeru, berhati-hatilah dengan sebarang tutur kata anda, seperti ''Hei si gemuk,", ''Kau ni hitamlah", dan sebagainya yang bakal mengundang kehinaan secara mental dan berpanjangan kepada individu terbabit.

Keganasan emosi merupakan antara satu daripada beberapa bentuk keganasan terhadap wanita yang selalunya dilakukan dalam bentuk keganasan rumah tangga.

Biarpun keganasan atau penderaan secara emosi ini tidak nampak dari pandangan mata kasar, sebagaimana kesan pukulan, namun hakikatnya ia merupakan penderaan mental berpanjangan.

Antara bentuk keganasan lain yang selalu berlaku dalam rumah tangga yang diperuntukan di bawah seksyen 2 Akta 521 ialah sengaja atau meletakkan mangsa dalam ketakutan, kecederaan fizikal, mencederakan mangsa secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan seksual, mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan atau khianat dengan merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd., kes-kes keganasan terhadap wanita yang dilaporkan meningkat setiap tahun.

Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada tahun 2007 sebanyak 3,756 kes dan meningkat ke 3,769 pada tahun 2008.

Angka tersebut menurun sedikit pada tahun 2009 dengan 3,643 kes dan pada tahun 2010 (setakat bulan Januari hingga Julai) 1, 871 kes.

Jabatan juga katanya, telah memberi kaunseling kepada 3,598 wanita termasuk wanita yang mengalami keganasan rumah tangga dan kes-kes penderaan setakat Jun 2010.

Namun tutur Wan Hasmah lagi, terdapat juga kes-kes yang tidak dilaporkan yang beliau rasakan semakin serius.

''JPW juga mencatatkan peningkatan wanita yang mendapatkan sesi kaunseling dengan 32 kes pada tahun 2008 meningkat 48 orang pada tahun lepas dan pada tahun ini sehingga Julai lalu kita telah menerima 62 kes wanita yang menghadapi kemelut keganasan rumah tangga," katanya.

Kata Wan Hasmah, bagi menangani isu-isu keganasan terhadap wanita seperti itu tanggungjawabnya bukan hanya terletak terhadap kerajaan atau polis sahaja, tapi memerlukan pembabitan semua pihak dan peringkat.

''Semua pihak terutamanya masyarakat perlu lebih peka terhadap isu-isu keganasan wanita,'' tambahnya yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Katanya, biarpun sudah banyak kempen kesedaran diadakan setiap tahun ia masih belum cukup untuk mengatasi isu tersebut secara tuntas.

"Cabaran sebenar ada dalam institusi keluarga itu sendiri contohnya pengaruh Internet, maklumat semasa, kekangan ekonomi, mental, fizikal dan pelbagai lagi akan terus memberi kesan keganasan terhadap wanita.

''Bagaimanapun, individu wanita itu sendiri perlu tahu dan perlu ada kesedaran untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan sekiranya mereka dikasari.

''Mereka perlu tahu bahawa kita ada menyediakan kumpulan sokongan di setiap tempat.

" Malah di hospital dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyediakan pusat sehenti setempat untuk golongan seperti ini mengadu nasib dan diberikan bantuan dan mereka juga disediakan Talian Nur 15999 untuk dihubungi,'' jelasnya.

Sehubungan itu katanya, dalam memberikan erti pemahaman kepada generasi baru yang nampaknya lebih peka dengan keadaan hak wanita dan isu-isu gender ini banyak usaha sedang dijalankan.

Antaranya memberi kesedaran kepada golongan wanita dengan celik kepada undang-undang.

Bukan itu sahaja, kempen turut disasarkan kepada golongan belia dan beliawanis di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, golongan muda dan sebagainya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.