Keluar wang KWSP secara ansuran

Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih untuk tidak mengeluarkan semua wang simpanan mereka sekali gus sebaliknya memilih bayaran ansuran apabila mencapai umur 55 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dalam laporan prestasi suku tahun kedua yang dikeluarkan di sini semalam, jumlah permohonan bagi Pengeluaran Fleksibel 55 Tahun meningkat sebanyak 31.21 peratus kepada 17,757 permohonan berbanding 13,533 pada tempoh sama tahun lalu.

Jumlah nilai simpanan yang dikeluarkan ialah RM727.51 juta berbanding suku pertama 2010 sebanyak RM637.73 juta meningkat 3.06 peratus berbanding RM705.89 juta pada suku kedua tahun 2009.

"Peningkatan Pengeluaran Fleksibel 55 Tahun ini disebabkan kesedaran ahli yang lebih tinggi mengenai kesan ke atas persaraan jika tidak mempunyai kewangan yang mencukupi seperti mana pengeluaran sekali gus yang boleh mengakibatkan simpanan dihabiskan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Walaupun pengeluaran sekali gus tetap menjadi pilihan utama pengeluaran persaraan, bilangan permohonan diluluskan bagi permohonan ini mencatatkan hanya sedikit peningkatan sebanyak 0.41 peratus.

Mengenai jumlah simpanan yang dikeluarkan, Azlan berkata, ia menurun sebanyak 6.94 peratus kepada RM1,681.60 juta berbanding RM1,807.01 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Permohonan Pengeluaran Melebihi RM1 juta pada suku kedua tahun ini pula mencatatkan peningkatan 38.05 peratus kepada 468 berbanding 339 pada tempoh yang sama tahun lalu.

- KOSMO! Keluar wang KWSP secara ansuran

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.