Etiqa, DiGi sasar premium RM1.2j untuk pelan Takaful Kemalangan Diri

ETIQA Takaful Bhd menyasar meraih premium bernilai RM1.2 juta dalam tahun pertama operasinya untuk pelan Takaful Kemalangan Diri yang baru dilancarkan.

Etiqa dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd semalam bersama-sama melancarkan pelan berkenaan yang menawarkan pelanggan pasca-bayar dan prabayar DiGi pilihan mendapatkan perlindungan kemalangan maut dan hilang upaya kekal diri sendiri secara sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Eksekutif Etiqa, Datuk Aminuddin Md Desa, berkata semua pelanggan pasca-bayar dan prabayar DiGi yang memilih opsyen perlindungan syariah itu diberi pilihan perlindungan RM50,000 atau RM100,000 dengan hanya membayar sumbangan masing-masing RM3 sebulan atau RM6 sebulan.
“Ini adalah produk pertama kami lancarkan menggunakan platform mudah alih DiGi. Lebih banyak produk menggunakan platform sama akan dilancarkan selepas ini,” katanya selepas majlis pelancaran perkhidmatan terbaru itu di Shah Alam, semalam.

Dua produk baru, iaitu takaful motor dan takaful pengembaraan secara dalam talian akan dilancarkan tahun ini menggunakan platform sama.

Aminuddin berkata, pelanggan DiGi yang berminat menyertai pelan Takaful Kemalangan Diri boleh melanggan dengan mudah menggunakan aplikasi mudah alih 3-langkah.

“Apa yang perlu dilakukan ialah menghantar SMS ‘TKD’ ke 2000 bagi mendapatkan pengesahan daripada DiGi dan ikut arahan seterusnya,” katanya sambil menambah kerjasama dengan DiGi membuktikan keupayaan Etiqa sebagai penyedia insurans pelbagai saluran.

Sementara itu, Ketua Eksekutif DiGi, Henrik Clausen, berkata penawaran Takaful menerusi kerjasama dengan Etiqa akan membantu DiGi menambah nilai perkhidmatan dan mengembangkan asas pelanggannya yang pada masa ini melebihi lapan juta.

Takaful Kemalangan Diri katanya, memberi perlindungan 24 jam di seluruh dunia ditawarkan kepada pelanggan DiGi berusia 12 hingga 70 tahun.

- BERITA HARIAN Etiqa, DiGi sasar premium RM1.2j untuk pelan Takaful Kemalangan Diri

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.