24,000 pelabur Swisscash mohon tuntut ganti rugi

PRICEWATERHOUSECOOPERS Advisory Services (PricewaterhouseCoopers) yang dilantik Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menguruskan proses pembayaran ganti rugi kepada pelabur skim Internet, Swisscash menerima 24,000 permohonan berhubung tuntutan itu.
Dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur, baru-baru ini, SC memaklumkan PricewaterhouseCoopers kini sedang menyemak setiap tuntutan dan dokumen sokongan pemohon.

“Sebaik proses itu selesai, SC dan PricewaterhouseCoopers akan menggariskan kriteria kelayakan pemohon yang layak untuk kelulusan Mahkamah Tinggi.

“SC menjangka bayaran pertama akan dibuat April ini. Bagaimanapun, usaha sedang dilakukan untuk menyegerakan pembayaran pertama itu akhir bulan ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 27 Januari lalu, PricewaterhouseCoopers menyiarkan iklan di akhbar bagi meminta pelabur Swisscash menyerahkan tuntutan mereka selewat-lewatnya pada 10 Februari lalu.

“Pelabur boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai proses pembayaran ganti rugi itu daripada laman web pentadbir dengan melayari laman web http://www.administrator-swisscash.com.my,” kata kenyataan itu.

SC juga dipetik berkata, orang ramai mahukan penjelasan daripada suruhanjaya itu dan pentadbir sama ada pihak berkuasa relevan untuk menarik balik halangan akses kepada pelayan Swisscash bagi membolehkan mereka mendapatkan semula maklumat berkaitan dengan pelaburan dilakukan.

“Keputusan menyekat akses ke pelayan Swisscash dibuat selepas pengendali Swisscash menutup sendiri akses kepada pelayan terbabit yang berkemungkinan berikutan siasatan dilakukan SC.

“Justeru, pihak berkuasa tidak dapat menyediakan akses sedemikian kepada pelayan berkenaan,” katanya.

- HARIAN METRO 24,000 pelabur Swisscash mohon tuntut ganti rugi

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.