'Komunikasi' Dekatkan Polis Pada Masyarakat

Memahami kehendak dan keperluan masyarakat stempat merupakan rahsia utama kejayaan polis negeri ini mengurangkan kadar jenayah selain mendekatkan mereka kepada orang awam.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob pelbagai kaedah dilakukan untuk memenangi hati masyarakat setempat termasuk mengadakan kelas bahasa Hokkien bagi anggota polis.

"Setiap tindakan mestilah bijak dan berkesan supaya dapat memenuhi tuntutan masyarakat setempat. Jadi kelas bahasa Hokkien untuk anggota polis adalah satu cara mendekati mereka," katanya kepada Bernama.

(Bahasa Hokkkien ialah bahasa yang digunakan dengan meluas oleh masyarakat Cina di negeri ini).

Kata Ayub dengan adanya kemahiran berbahasa Hokkien dalam kalangan pegawai dan anggota polis, penerimaan masyarakat setempat lebih positif dan secara tidak langsung merupakan satu nilai tambah kepada polis.

"Apabila keyakinan dan penerimaan masyarakat setempat terhadap polis mula bertambah, dengan sendirinya mereka membantu tugas polis dalam menjaga keselamatan", kata beliau.

SUKARELAWAN

"Banyak badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerjasama dengan polis dalam hal berkaitan dengan keselamatan. Mereka menjaga kawasan sekitar kediaman mereka dan pihak polis hanya membantu dengan memantau keadaan.

"Ini membantu tugas polis. Ia adalah kesan daripada komunikasi dua hala yang dapat diterima dan diyakini masyarakat," katanya.

Selain kelas bahasa Hokkien, turut diadakan ialah kelas bahasa Inggeris bagi memudahkan polis berurusan dan berkomunikasi dengan orang asing khususnya pelancong.

"Di Pulau Pinang terdapat ramai pelabur, pelancong dan peniaga asing. Semuanya perlu diambil kira dan pastinya perlukan pendekatan berbeza dalam hal menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

DEKATI REMAJA

Ayub berkata beliau juga menggunakan pendekatan khusus untuk merapatkan remaja kepada polis dengan mengadakan pelbagai program yang menjadi 'kegemaran' remaja hari ini.

Antara program yang diadakan termasuk 'konvoi bermotor anti dadah' dan 'belia masjid'.

"Memang sukar sikit bila hendak bawa remaja ke surau atau masjid tetapi kita pujuk dengan buat program yang mereka suka, bila sudah sampai di surau atau masjid mahu atau tidak mereka kena juga solat berjemaah.

"Untuk tawan hati remaja kita juga kena faham tentang mereka, sekarang ini gejala rempit sudah berkurangan kerana penguatkuasaan dan program yang diadakan," katanya.

Beliau menegaskan pendekatan sedemikian penting dalam memastikan golongan remaja tidak terus terjerumus ke dalam gejala yang tidak sihat dan menjadi barah dalam masyarakat.

Katanya hanya remaja sahaja yang boleh mempengaruhi remaja lain sama ada jadi baik atau sebaliknya.

"Jadi dengan adanya program seperti itu sekurang-kurangnya mereka ini boleh pengaruhi satu sama lain untuk turut serta, sedikit sebanyak boleh juga mereka mendengar ceramah demi kebaikan dan masa depan mereka," katanya.

KOMANDAN

Ayub dilahirkan di Batang Kali, Hulu Selangor pada 23 Ogos 1954. Beliau memulakan tugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Okt 1977 di Pulau Pinang, selepas tamat latihan asas inspektor di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Bapa kepada dua anak ini juga pernah menjadi komandan Pulapol. Ayub juga pernah bertugas di Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu sebelum kembali semula ke Pulau Mutiara ini.

"Saya mula bertugas sebagai polis di Pulau Pinang, dan sekarang saya kembali ke negeri yang sama, pengalaman yang ada dulu banyak membantu saya".

KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI

"Setiap anggota polis juga perlu bijaksana dalam menjalankan tugasnya, perlu ada kemahiran berkomunikasi supaya dapat diterima semua kaum," kata beliau.

Ayub menegaskan sikap saling bekerjasama antara polis dan orang awam ialah antara faktor menyebabkan penurunan kadar jenayah di negeri ini.

Katanya polis Pulau Pinang mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus bagi tahun 2010 dan sehingga akhir Mei lepas, mencatatkan pengurangan sebanyak 15 peratus.

"Jenayah paling banyak berlaku ialah curi motosikal, tetapi ia bukan kerja sindiket hanya curi untuk suka-suka sahaja dalam kalangan remaja.

"Jenayah berat seperti samun bersenjata memang ada penurunan, bagaimanapun anggota polis di sini sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan," katanya.

Katanya konsep pengawaman polis yang diperkenal dalam enam bidang keberhasilan negara (NKRA) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menjadi faktor penurunan jenayah.

Pengawaman ialah anggota polis yang bertugas di dalam pejabat turut terlibat membuat rondaan, katanya. 'Ops Payung' yang diperkenal juga telah menambah bilangan anggota polis yang berada di kawasan tumpuan awam.

"Kehadiran anggota polis yang ramai ini juga memberikan keyakinan pada orang ramai," kata beliau.

- BERNAMA 'Komunikasi' Dekatkan Polis Pada Masyarakat

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.