RMKe-10: Putrajaya, Cyberjaya model perintis penarafan bandar hijau mesra alam

Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh dalam usaha kerajaan untuk menggalakkan perumahan mesra alam, selaras pengenalan garis panduan dan sistem penarafan hijau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau.

“Berikutan itu, semua bangunan baru kerajaan akan direka bina untuk mematuhi piawaian bangunan hijau, manakala kecekapan tenaga bangunan kerajaan sedia ada juga akan ditambahbaik.

“Sebagai contoh suri teladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya akan dinaik taraf untuk mematuhi penarafan hijau Gold Standard,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga.

“Kerajaan akan memperkenalkan ‘Feed in Tariff’ dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharui bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharui.

“Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan juga akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
Beliau juga menyeru sektor industri mengambil peluang itu dan menggunakan insentif disediakan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan.

“Kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar termasuk eko-pelancongan yang menyediakan peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat dalam usaha menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara serta merebut peluang daripada permintaan bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau yang semakin meningkat,” katanya.

- BERITA HARIAN RMKe-10: Putrajaya, Cyberjaya model perintis penarafan bandar hijau mesra alam

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.