Terminal sementara ganti Puduraya beroperasi mulai 12 April 2010

Terminal sementara untuk perkhidmatan bas ekspres bagi destinasi Utara dan Selatan, di sini yang akan beroperasi mulai jam 6 pagi 12 April 2010 menyediakan pelbagai kemudahan setara dengan Hentian Puduraya termasuk 12 platform atau ruang menaiki bas berbumbung demi keselesaan penumpang pengangkutan itu.

Pengurus Kanan Uda Mall Sdn Bhd (Uda Mall), Ismail Hassan, berkata terminal sementara itu dijangka mampu menampung kira-kira 40,000 pengguna setiap hari, manakala 12 platform disediakan akan digunakan kira-kira 98 syarikat bas yang dijadual membuat 1,000 perjalanan sehari untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

“Kemudahan asas lain yang disediakan termasuk dua lokasi menunggu yang menyediakan 3,000 kerusi, gerai makan dan kedai runcit bersebelahan Stadium Hoki (78 unit), kaunter tiket (98 unit), tandas lelaki dan wanita (26 unit), surau (2) dan bilik kecemasan.

“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan unit keselamatan Uda Mall bagi memastikan tahap keselamatan bas, pemandu dan penumpang terjamin.

“Misalnya, AADK akan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas sebelum mengambil penumpang dan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, manakala operasi bas di setiap platform pula ditetap berdasarkan sistem undian antara syarikat bas terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan dan taklimat media mengenai pemindahan dan penyediaan perkhidmatan bas Hentian Puduraya ke terminal sementara Bukit Jalil di tempat letak kereta F, Kompleks Sukan Negara di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Uda Mall, Salamah Ismail.

Pemindahan mulai 12 April itu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf Hentian Puduraya yang akan berlangsung selama empat bulan.

Ismail berkata, seramai 89 pemilik kedai dan gerai makan daripada 160 peniaga di Hentian Puduraya setuju berpindah sementara ke terminal itu bagi meneruskan perniagaan secara percuma di unit sementara disediakan.

“Manakala, semua 98 kaunter tiket dipindahkan ke sini malam ini selepas selesai operasi jualan mereka di Hentian Puduraya,” katanya.

Katanya, pengguna yang ingin ke terminal sementara ini boleh menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), teksi dan bas RapidKL yang akan menyediakan perkhidmatan setiap 15 minit bagi perjalanan dari Bukit Jalil ke Hentian Puduraya dan sebaliknya.

- BERITA HARIAN Terminal sementara ganti Puduraya beroperasi mulai 12 April 2010

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.