IPTA dilarang potong, had bajet internet

Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diarah supaya tidak memotong atau mengurangkan perbelanjaan kemudahan internet yang disediakan di kampus masing-masing, walaupun kerajaan pada masa ini memperkenalkan langkah berjimat cermat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata usaha meningkatkan lagi kemudahan capaian internet seperti memperluas perkhidmatan internet tanpa wayar (WiFi) dan menambah kelajuan penerimaan gelombang frekuensi patut diberi keutamaan oleh pengurusan IPTA berbanding membelanjakan peruntukan bagi perkara lain. “Saya berharap pihak universiti cuba perbaiki lagi talian internet di kampus. Jika belanjawan dipotong kerana langkah berjimat cermat, perbelanjaan bagi internet tidak boleh dipotong. Yang penting tingkatkan kelajuan dan kapasiti internet di kampus.

“Tidak perlu cat baru bangunan atau buat pagar atau bina bangunan baru. Saya tidak mahu dengar lagi mahasiswa mengadu kepada saya melalui Facebook yang talian internet di kampus mereka selalu sesak atau perlahan,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Seminar Muslim Super anjuran badan bukan kerajaan (NGO), iluvislam.com di sini, semalam.

Saifuddin berkata, kemudahan internet di IPTA masih banyak perlu diperbaiki kerana ia menjadi medium utama bagi mahasiswa mendapatkan maklumat terkini sama ada menyiapkan tugasan, mendapatkan maklumat atau berinteraksi.

Katanya, pengurusan IPTA tidak boleh lagi menganggap pelaburan memajukan kemudahan internet sebagai sesuatu yang merugikan kerana internet semakin sebati dalam kehidupan masyarakat terutama mahasiswa.
“Ada pengurusan IPTA menyalahkan mahasiswa kononnya tindakan mereka memuat turun pelbagai maklumat termasuk video menyebabkan talian internet menjadi perlahan atau sesak.

“Pengurusan IPTA perlu sedar bahawa inilah dunia mahasiswa sekarang. Mereka hanya mahu kemudahan internet pantas dan mudah dicapai di mana-mana saja. Ia kini menjadi lumrah dalam kehidupan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut meminta IPTA tidak lagi melarang mahasiswa menggunakan Facebook atau apa juga laman sosial internet untuk berkempen dalam pilihan raya kampus pada masa depan.

“Tindakan melarang mahasiswa apatah lagi menghukum mereka kerana menggunakan laman sosial internet untuk berkempen adalah salah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mempunyai akaun Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan mutu kemudahan internet di kampus juga selari dengan dasar kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berintelek dan berkemahiran tinggi dalam kerangka pembentukan Model Ekonomi Baru.

- BERITA MINGGU IPTA dilarang potong, had bajet internet

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.