Reaksi lelaki Melayu tidak romantik

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Ramai pembaca memberikan maklum balas mengenai tulisan 'Lelaki Melayu tidak romantik?' yang disiarkan minggu lepas. Topik itu turut dibincangkan oleh sebuah stesen radio. Rata-rata yang memberi respons - baik kepada akhbar ini mahupun stesen radio itu terdiri daripada lelaki.

Isu tersebut juga diberi perhatian di laman web sosial Facebook. Ia berlarutan hingga beberapa hari. Rumusannya, tidak ramai lelaki gemar isu berkaitan mereka diperkatakan. Apatah lagi yang menulis atau bercakap mengenainya ialah wanita. Mungkin bagi lelaki wanita tidak layak untuk campur tangan dalam 'wilayah' mereka baik yang bersifat kelakuan mahu pun tanggungjawab.

Seorang lelaki menerusi pesanan ringkas kepada penulis : Kau memang bermuka-muka dan double standard sebab tidak berani tulis mengenai wanita tetapi sanggup bercerita macam-macam tentang lelaki!

Tidak tahulah apa yang merasuk fikiran lelaki itu. Mungkin spesies hidup di sekelilingnya adalah manusia talam dua muka, lantas tulisan sedemikian pun mendapat rumusan sebegitu rupa. Sehinggakan menulis mengenai lelaki pun dikatakan bermuka-muka.

Ada juga lelaki yang secara berterus terang mengakui kelemahan mereka - tidak romantik. Mereka bersetuju bahawa untuk menjadi romantik bukan mudah sebaliknya ia menuntut gabungan pelbagai sifat. Paling penting ambil berat, bertanggungjawab dan menghormati wanita.

Terdapat juga pembaca lelaki Melayu yang terburu-buru membuat ulasan. Tanpa membaca lanjut, terus saja melenting kononnya merekalah makhluk ciptaan Allah paling romantik di muka bumi ini.

Sedangkan tulisan itu sebenarnya menyentuh mengenai lelaki secara keseluruhannya - Melayu dan bukan Melayu. Agaknya lelaki berperangai sebegitu, cepat melenting tanpa melihat apa isu sebenar. Cepat pula membuat perhitungan dan tuduhan.

Kalangan wanita yang menghantar komen ada juga yang tidak bersetuju dengan tulisan itu. Wanita itu bertuah kerana dikurniakan pasangan yang romantik walaupun tidak sampai ke tahap 'makan malam di bawah cahaya lilin'.

Seorang isteri mengakui lelaki tidak romantik. ''Kita pula yang terpaksa buat macam-macam nak bagi dia romantik (merujuk kepada suami yang baru dikahwini sebulan lalu).''

Rumusan komen wanita adalah: ''Kaum Hawa mengutamakan lelaki yang menghormati wanita. Itu paling penting. Wanita bukan untuk dilemparkan kata-kata kesat atau disinggung hatinya dengan sikap berat sebelah.

''Lebih penting, wanita mahu dihargai, bukan hanya menjadi penting apabila lelaki ada kepentingan dengannya. Penghargaan itu tidak perlu diucapkan secara romantik sebaliknya dengan menghormati hak serta kedudukan mereka.

''Jika wanita diminta memberi pandangan, maka hormati pandangan itu. Jangan jadikan ia alat untuk mempertahankan diri atau meletakkan kesalahan ke atas bahu wanita.''

Komen 1 (wanita)

Saya tidak bersetuju dengan artikel bertajuk 'Lelaki Melayu tidak romantik? Bagi saya ia sangat bersifat individu, sejauh mana kita menafsirkan istilah romantik itu. Kalau nak romantik macam telenovela Filipina, pergi ke tengah taman buat candle light dinner, ada kumpulan muzik memainkan retak perlahan memang susah nak dapat.

Tetapi ada banyak sikap romantik yang ditonjolkan oleh lelaki Melayu dalam kehidupan sebenar. Bagaimanapun saya menyenangi penutup artikel anda dan ia sememangnya tepat. Bagi saya romantik itu menghormati dan ditambah dengan menyayangi.

Komen 2 (lelaki)

Sesiapa yang menyokong rencana lelaki Melayu tak romantik mesti pernah mengalami kekecewaan dan trauma dengan lelaki Melayu. Buka minda anda semua. Kalau nak bincang pasal isu subjektif macam ini siapa-siapa pun boleh kata perempuan Melayu juga tak romantik. Perempuan Melayu pun ego sama saja dengan lelaki. Dan pasti ada bantahan menyusul. Isu ini tidak akan berakhir sampai kiamat. Tetapi ayat akhir ' Lantaran lelaki mesti ingat, dalam hidup mereka ada ibu yang melahirkan mereka ke dunia - ibu itu ialah wanita''. suka saya 'mengingatkan' kembali (sebab penulis rencana ini meminta kaum lelaki 'ingat') kepada perempuan bahawa permulaan kehidupan mereka di dunia ini adalah daripada Hawa yang dicipta dari tulang rusuk kiri Adam di dalam syurga, ada yang nak menyangkal ingatan ini?

Komen 3 (wanita)

Bagi saya memang susah nak jumpa lelaki Melayu yang romantik "sekarang ini". Kebanyakan lelaki lebih pentingkan diri sendiri. Contoh muda semasa keluar lif, sekurang-kurangnya bagi wanita atau warga tua keluar dahulu tetapi yang selalu berlaku lelaki gagah perkasa pun berebut dengan wanita.

Bagi perempuan istilah lelaki romantik adalah lelaki yg tahu hormat wanita, mengutamakan wanita terutamanya dalam hal remeh-temeh. Bukan bermakna wanita tidak menghormati lelaki jika keutamaan diberi kepada mereka. Wanita akan selalu hormat lelaki sebab mereka adalah pemimpin kepada wanita. Sebagai seorang pemimpin perkara utama yang mesti dilaksanakan adalah menghormati orang lain termasuk wanita.

Komen 4

Saya bersetuju dengan pandangan penulis dan penutupnya menceritakan apa sebenarnya sifat yang perlu ada lelaki.

- MINGGUAN MALAYSIA Reaksi lelaki Melayu tidak romantik

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.