Dimensi baru perjuangan Kimma

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Sejak 1984, sudah lima kali Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) membuat permohonan secara terbuka untuk menjadi salah sebuah parti komponen politik di bawah Barisan Nasional (BN). Namun sehingga ke hari ini, permintaan pertubuhan yang berusia 33 tahun itu tidak mendapat maklum balas positif.

Ada beberapa kekangan yang barangkali menyebabkan permintaan Kimma itu tidak begitu diberi perhatian. Antara lain, pertubuhan itu selama ini sudah berada di bawah MIC dan kedudukan itu dilihat lebih memadai bagi sesetengah pihak.

Secara tidak langsung, ia juga menunjukkan bahawa Kimma sudah sedia diterima sebagai penyokong BN meskipun bukanlah atas tiket sebuah parti komponen.

Namun bagi Presiden Kimma Kebangsaan, Mohd. Fazil William Abdullah, kedudukan pertubuhan itu di bawah MIC itu perlu diperhalusi kerana hala tuju perjuangan mereka dengan parti berkenaan tidak sama.

Katanya, walaupun pertubuhan itu untuk orang India, tetapi Kimma mewakili kaum India yang beragama Islam. Ia tidak selari dengan asas perjuangan MIC yang dipimpin oleh kaum India beragama Hindu dan Buddha.

Perbezaan agama itu ujar beliau, mewujudkan jurang yang besar antara Kimma dan MIC dan pada kebanyakan masa, Kimma berasa tersisih dan tidak mendapat perhatian serta tempat sewajarnya daripada MIC.

Kerana itu tambah Mohd. Fazil, Kimma sangat berharap BN dapat melihat parti itu dari sudut dan dimensi yang baru. Kimma tambah beliau, mempunyai identiti tersendiri yang memerlukan perhatian dan pendekatan yang juga sudah semestinya tersendiri.

‘‘Maka, permintaan untuk menjadi parti komponen baru itu tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang melampau atau luar biasa,” jelasnya.

Faktor lain yang perlu dilihat daripada permintaan Kimma itu juga ialah realiti kehidupan masyarakat India muslim di negara ini, hari ini. Dianggarkan terdapat sehingga 800,000 orang hingga satu juta orang India Muslim di seluruh negara ketika ini.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 70 peratus pula berada dalam kelompok masyarakat berpendapatan sederhana dan miskin. Jumlah itu terlalu besar dan sudah semestinya memerlukan perhatian secara langsung daripada kerajaan.

Begitu juga dalam soal-soal kebajikan lain seperti persekolahan, kesihatan, sosial dan sebagainya. Komuniti India Muslim terutamanya mereka yang miskin lebih selesa mengadu nasib secara terus kepada pemimpin Kimma.

Dalam beberapa kes, terdapat masyarakat India Muslim yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya sama ada daripada majikan atau pihak-pihak tertentu. Maka, di sinilah peranan Kimma iaitu membela nasib masyarakat India Muslim ini sewajarnya.

Kimma juga giat membantu ahli-ahlinya, kaum India Muslim secara keseluruhannya serta kaum Melayu menerusi program dan aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan dan politik. Program di sektor-sektor itu dirangkum di bawah dasar menyeluruh bagi membolehkan ia bergerak selari dengan program kerajaan.

Namun tegas Mohd. Fazil, tanggungjawab itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya secara bersendirian oleh pertubuhan itu. Kimma tambah beliau, memerlukan jambatan yang dapat menghubungkan suara dan permasalahan mereka secara langsung kepada kerajaan dan BN.

‘‘Saya beranggapan satu saluran khusus diperlukan oleh kaum India Muslim kerana nasib mereka juga memerlukan perhatian yang sewajarnya. Ini kerana kami juga mempunyai masalah dari pelbagai sudut.

“Saya bimbang sekiranya kerajaan kurang peka tentang masalah kami, masyarakat India Muslim akan hilang punca sedangkan mereka juga berhak mendapat peluang yang adil seperti kaum-kaum lain,” katanya.

Apa yang ditekankan Mohd. Fazil juga ialah, Kimma sepanjang 33 tahun sejarah penubuhannya, tidak pernah berganjak sedikit pun daripada sokongan kepada kerajaan dan BN. Mereka turut menggerakkan jentera sendiri sepanjang pilihan raya umum bagi memastikan calon BN di kawasan masing-masing menang.

Begitu juga pada pilihan raya kecil yang mana Kimma turut tidak terkecuali membantu jentera BN berkempen. Walaupun kelibat Kimma tidak begitu disedari kerana kurang popular, namun semangat perjuangan mereka bersama-sama BN selama 33 tahun tidak pernah pudar.

Kimma juga katanya, mempunyai ahli di peringkat akar umbi yang sangat kukuh. Ketika ini, keahlian Kimma berjumlah kira-kira 80,000 orang. Jumlah sebesar itu sudah semestinya mampu mempengaruhi dari sudut undian yang diterima oleh calon BN pada pilihan raya.

Jumlah itu juga katanya akan meningkat apabila Kimma diterima secara rasmi sebagai parti komponen parti. ‘‘Ini kerana masih ramai masyarakat India Muslim di luar sana yang berbelah bahagi untuk menjadi ahli Kimma kerana tidak yakin dengan kedudukan parti ini.

“Saya percaya apabila Kimma diterima menjadi parti komponen BN secara rasmi, sokongan masyarakat India Muslim akan semakin kuat dan lebih ramai profesional akan menyertai kami,” katanya.

Selain itu, kehadiran Kimma sebagai parti komponen BN juga wajar dilihat dari sudut sokongan masyarakat India secara keseluruhannya. Meskipun Kimma mewakili masyarakat India Muslim, namun kaum India beragama lain juga tidak berasa kekok dengan kehadiran mereka.

Ini kerana secara terasnya, mereka berasal daripada kaum yang sama dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Tamil. Faktor ini boleh menjadi kelebihan kepada BN ketika parti utama yang mewakili kaum India dilihat sedang bergelut dengan krisis dalaman yang kritikal.

MIC dan Parti Progresif Rakyat (PPP) misalnya, masih dibelenggu isu-isu dalaman sehingga menjarakkan sokongan masyarakat India. Justeru, kehadiran Kimma boleh menjadi salah satu parti komponen alternatif kepada masyarakat India yang berdiri di belakang BN, tetapi tidak sealiran dengan MIC, PPP atau beberapa parti kecil masyarakat India lain.

Kehadiran Kimma juga pastinya membolehkan lebih banyak pandangan dibawa masuk sekali gus mengukuhkan kedudukan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

- UTUSAN Dimensi baru perjuangan Kimma

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.