Buku teks agama kelirukan pelajar

Seorang imam masjid di sini merayu Kementerian Pelajaran meneliti semula kandungan buku teks Pendidikan Islam Tingkatan Empat kerana berlaku kesalahan yang boleh mengeliru dan menjejaskan akidah pelajar.

Nokman Zakaria, 58, seorang pesara guru agama berkata, dia menyedari kesilapan pada halaman 75 dan 134 buku itu sejak lima tahun lalu ketika bertugas sebagai guru agama di sekolah menengah di Terengganu.

Beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil untuk mengatasi kesilapan itu, malah buku teks berkenaan masih diulang cetak sehingga kini.

"Sebagai contoh, pada muka surat 134, menyatakan antara syarat sah sembelihan ialah 'tidak berada dalam ihram haji' dan ini salah kerana tidak ada pada mana-mana kitab Feqah menyatakan syarat itu. Cuma dalam bab haji ada menyebut larangan ihram iaitu dilarang memburu binatang buruan darat yang halal dimakan.

"Jika binatang disembelih itu buruan seperti rusa dan kijang, ia termasuk larangan ihram haji tetapi jika disembelih itu seperti ayam, itik, lembu dan korban, dibolehkan kerana bukan binatang buruan.

"Kesilapan ini tidak sepatutnya terjadi kerana membabitkan komuniti besar, iaitu hampir semua sekolah di negara ini guna buku teks ini dan kementerian perlu meneliti terlebih dulu kandungannya serta merujuk orang bertauliah dalam hal ini," katanya yang juga imam Masjid Padang Tengir, Manir, di sini.

Nokman berkata, jabatan dan kementerian mengakui kesalahan pada buku berkenaan tetapi masih tiada tindakan diambil.

Beliau berkata, kesilapan berhubung tafsiran penyembelihan dan hal berkaitan akidah yang ditulis dalam buku berkenaan patut diperbaiki kerana boleh mengelirukan pelajar dan guru.

- BERITA HARIAN Buku teks agama kelirukan pelajar

1 comment... add one now

MasReena MasReena Sabtu, 6 Februari 2010 pada 10:43:00 PG SGT
macammana kementerian pendidikan boleh buat kesilapan yang sungguh kritikal ini? kalau kesilapan pada buku teks geografi atau sains memang boleh diterima tetapi hukum hakam bukan boleh buat main-main. mustahil perumus buku teks agama tak de panel bertauliah yang dilantik untuk memantau isi kandungan buku

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.