Orang ramai saksi gerhana matahari




KUALA TERENGGANU 15 Jan 2010 : Lebih 1,000 orang membanjiri pekarangan Masjid Universiti Darul Iman (UDM) di Gong Badak, semalam menyaksikan fenomena gerhana matahari anulus atau cincin yang disifatkan istimewa kerana tidak pernah berlaku pada Jumaat sebelum ini. 

Pensyarah Unit Falak UDM, Dr Baharrudin Zainal, berkata sempena fenomena gerhana matahari itu, masjid UDM turut diimarahkan dengan kehadiran hampir 200 jemaah wanita untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar dua khutbah, iaitu khutbah Jumaat serta khutbah gerhana. 

Beliau berkata, fenomena berlangsung kira-kira dua setengah jam itu bermula jam 3.07 petang untuk fasa pertama menyaksikan bulan mula menyentuh dan melitupi matahari, diikuti fasa kemuncak pada jam 4.30 petang apabila bulan melindungi matahari sebanyak 31 peratus, sebelum tamat pada jam 5.43 petang apabila bulan keluar dari matahari. 

Sementara itu, di LANGKAWI, kira-kira 1,500 orang berkumpul bagi menyaksikan gerhana matahari separa yang berlaku petang semalam, di tempat letak kereta Kompleks Pekan Rabu, di sini. Cuaca cerah sejak awal pagi membolehkan orang ramai membuat pencerapan menggunakan enam teleskop berkuasa tinggi yang disediakan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) selain melihat imej gerhana pada tiga skrin. 

Tinjauan Berita Harian, mendapati orang ramai mula berkumpul di kawasan berkenaan sejak jam 2 petang dan mula bersurai kira-kira jam 5 petang selepas gerhana makin hilang dari alat pencerapan. 

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.