Kontroversi dan mistik Gus Dur


"Kiai Hasyim Muzadi menjelaskan para kiai yang meminta 'petunjuk dari langit' mendapat petanda bahawa saya harus meneruskan perjuangan untuk menjadi Presiden Indonesia dan perjuangan saya akan disokong dengan doa para kiai.''

Kata-kata inilah yang memulakan langkah pertama Abdurrahman Wahid atau Gus Dur menjadi Presiden Indonesia keempat.

Sepanjang tempoh itu, Gus Dur yang menghembuskan nafas terakhir pada 30 Disember lalu, bukan sahaja dianggap seorang Presiden yang kontroversi malah kehidupan dilingkari dengan pelbagai cerita mistik.

Namun begitu Gus Dur juga bertanggungjawab menghidupkan demokrasi sebenar di Indonesia apabila menghapuskan pengharaman kepada kaum tionghua menyambut Tahun Baru Cina dan memisahkan Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menjadi dua organisasi yang berbeza. Sebelum ini kedua-dua pasukan berada di bawah satu bumbung dengan menggunakan nama Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI).

Berikut dipaparkan coretan peristiwa yang berlaku sepanjang Gus Dur menjadi Presiden Indonesia bermula pada Oktober 1999 hinggalah beliau disingkirkan daripada jawatan itu oleh Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) pada 2001.

KONTROVERSI

Pelbagai gelagat dan tindakan yang ditunjukkan oleh Gus Dur telah memungkinkan, beliau dianggap tokoh kontroversi tetapi paling berpengaruh.

Kontroversi pertama yang dicetuskan oleh Gus Dur apabila beliau menafikan melakukan pembelotan kepada Ketua Umum Parti Demokrasi Perjuangan (PDIP) Megawati Sukarnoputri yang partinya menang cemerlang dalam pilihan raya umum sebelum itu apabila bersedia menjadi calon Presiden Indonesia.

''Kalau Megawati bertanding seorang, itu bukanlah demokrasi, oleh itu saya bertanding untuk demokrasi, kalau menang...menang...kalau kalah tak apa. Beliau (Megawati) boleh menggantikan Akbar Tanjung sebagai Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR)...kalau tidak mahu jadi sahaja pembangkang.''

Beberapa hari menjadi Presiden, Gus Dur menarik perhatian dunia apabila gambar beliau yang menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat dipaparkan.

Ia kerana Gus Dur melipatkan kaki di atas kerusi tanpa memakai stokin. Apabila ditanya oleh wartawan ketika itu, Gus Dur mengulas, kakinya gatal kalau memakai stokin.

Tidak cukup dengan itu, Gus Dur menggemparkan Indonesia apabila membuat kenyataan bahawa beliau menerima maklumat bahawa sekumpulan Jeneral TNI telah mengadakan pertemuan di Jalan Larutze Jakarta untuk membincangkan rampasan kuasa.

Seluruh dunia melaporkan kenyataan Gus Dur itu dan tertanya-tanya di manakah Jalan Larutze. Apa yang orang tahu mengikut sejarah China, Larutze juga disebut Latzun, Lao-tse, Lao-tun atau Lao-tan. Nama Lautze diambil dari nama ahli falsafah China pada abad ke-6 Masihi, pada masa Dinasti Tang. Akhirnya orang tahu rupanya nama jalan yang disebut oleh Gus Dur adalah hasil maklumat anaknya ketika berkunjung ke Rom. Ia tidak wujud di Indonesia.

Dalam hubungan dengan TNI, Gus Dur juga kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi. Antara yang paling popular apabila mendakwa hanya terdapat 10 peratus sahaja pegawai TNI yang 'kurang ajar' dan tidak setia kepada pemerintah.

Begitu juga dengan POLRI, Gus Dur tidak terlepas daripada 'berbalah' dengan pasukan berkenaan, apabila sepanjang pemerintahannya dua Ketua Polis Negara dipecat. Mereka ialah Rusdiharjo dan Bimantoro.

Berbanding Rusdiharjo, Bimantoro boleh dianggap menerima tamparan paling hebat apabila Gus Dur mengumumkan pemecatan beliau ketika berucap di majlis perbarisan sempena Hari POLRI dan melantiknya sebagai Duta Besar Indonesia ke Malaysia. Bagaimanapun Bimantoro menolak tawaran berkenaan sebaliknya bersedia melepaskan jawatan Ketua Polis Indonesia.

Turut menjadi perhatian ketika Gus Dur menjadi Presiden ialah lawatan ke luar negara. Mengikut rekod yang didedahkan oleh DPR, sejak menjadi Presiden pada Oktober 1999 hingga Jun 2000, Gus Dur sudah membelanjakan RM26.3 juta daripada peruntukan yang disediakan bagi tujuan berkenaan. Ia melibatkan lawatan ke 35 buah negara.

Pada 2 Julai 2000 pula, Gus Dur sekali lagi menggemparkan Indonesia apabila mengarahkan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan dan menangkap 40 tokoh politik termasuk sejumlah besar anggota DPR dan MPR atas dakwaan menjadi dalang dalam kekacauan yang berlaku di negara itu.

Antara mereka anggota MPR, Fuad Bawanzier, Timbalan Ketua MPR, Ginandjar Kartasasmita, bekas Menteri Kewangan Marie Muhammad dan bekas Menteri Koperasi Adi Sasono.

Demikian dalam pelbagai isu yang dianggap kontroversi sehingga ada yang membuat andaian bahawa, ''Nyanyian Gus Dur seperti tiupan seruling dari pendekar sakti yang memiliki keupayaan untuk memusnah dengan tinggi. Nyanyian Gus Dur mengancam, memabukkan, membuat panik dan menakutkan. Dan keganasan seruling Gus Dur seperti biasa memperolehi momentum ketika ditiup dari luar negara''.

KEHIDUPAN MISTIK

Sikap beliau yang suka mengunjungi makam-makam keramat dan gemar menanti 'petunjuk dari langit; merupakan antara telatah Gus Dur yang sering menjadi perhatian rakyat Indonesia.

Gus Dur dikatakan mempunyai kiai-kiai khas yang didakwa memainkan peranan yang cukup penting dalam pemerintahannya sehinggakan ketika pertama kali hendak menjejak kaki ke Istana Merdeka selepas dilantik sebagai Presiden, Gus Dur menggunakan khidmat mereka kononnya 'mencuci' kekuatan jahat penguasa sebelumnya.

Menurut bapa saudara Gus Dur, Kiai Yusuf Hasyim, Presiden Indonesia itu sememangnya meminati dunia mistik sejak kecil lagi.

Dalam kehidupan sehariannya ketika menjadi Presiden, Gus Dur juga menjalani amalan dan upacara tertentu. Selain mengunjungi kiai yang dikatakan mempunyai karomah setiap Jumaat, beliau akan mengundang sekurang-kurangnya lima kiai ke Istana Merdeka untuk berwirid, membaca surah al-Ikhlas, surah Yasin, al-Kahfi serta mendoakan keselamatan Gus Dur.

Malam pada setiap malam pasti ada satu atau dua orang kiai yang ditemui oleh Gus Dur selepas pukul 11 malam. Secara peribadi, Gus Dur sendiri mempunyai amalan khusus. Dalam keadaan tidak menentu dan batin tidak tenang, beliau melakukan banyak wirid. Gus Dur yang mempunyai hobi berjoging ini juga kerap membaca surah Yasin sebanyak tiga kali, membaca ayat Kursi tujuh kali pada setiap malam, khususnya malam Rabu manakala pada malam Jumaat Gus Dur membaca surah al-Kahfi sebanyak 11 kali.

Dihormati

Gus Dur amat menghormati tiga orang kiai di Indonesia yang bermula dengan nama Abdullah iaitu Kiai Abdullah Faqih, Kiai Abdullah Abbas dan Kiai Abdullah Salam. Ketiga-tiga mereka dikatakan mempunyai ilmu hikmah yang cukup tinggi dan sangat dihormati oleh sebahagian besar umat Islam di negara itu.

Apa yang menarik menurut seorang teman baik Gus Dur, kira-kira sebulan sebelum sidang umum MPR untuk memilih Presiden, Gus Dur dikatakan menemui seorang kiai terkenal di Yogyakarta.

'Pak Kiai' itu kemudian mengajak Gus Dur ke pantai. Di tempat itu, kiai berkenaan menyelam selama hampir dua jam.

Kononnya ketika menyelam dengan iringan ombak pantai Laut Selatan, 'pak kiai' berdialog dengan makhluk ikan dan setelah selesai menyelam, beliau memberi isyarat kepada Gus Dur bahawa akan menjadi Presiden. Bagaimanapun untuk memastikan pemerintahannya sepanjang menjadi Presiden aman, Gus Dur harus menghantar 40 kiai menunaikan haji.

Selain itu, turut menjadi bualan di Indonesia, ialah bagaimana Gus Dur didakwa menggunakan dua ekor jin dari Mesir yang bernama Salahudin dan Burhanuddin - kedua-dua jin dikatakan bertanggungjawab mengatasi konflik perpecahan negara-negara di Asia Barat.

Gus Dur didakwa menggunakan khidmat jin berkenaan kerana musuh-musuhnya di Indonesia juga menggunakan makhluk yang sama tetapi bertaraf raja jin iaitu jin afrait.

Kerusuhan di Ambon, Aceh dan Jakarta pada masa itu dikaitkan dengan perbuatan jin berkenaan.

Seorang ulama terkenal di Bandung, H. Azis berkata, jin afrit ini mempunyai ilmu untuk mempengaruhi jiwa manusia sehingga mereka bertindak kejam dan buas seperti mana sifat jin berkenaan.

Bagaimanapun, katanya Gus Dur tidak gentar menghadapi jin afrit kerana dua jin yang dibawa dari Mesir itu mempunyai kemampuan yang melebihi jin afrit.

Menurut ulama itu, apa yang menarik Salahudin dan Burhanuddin sedang melatih berjuta-juta ekor jin di Indonesia untuk menjadi benteng melindungi Gus Dur jika ada keinginan kelompok tertentu mahu melakukan rampasan kuasa.

Ketika Gus Dur berhadapan dengan ancaman akan disingkirkan daripada jawatannya, Ketuag Pengurus Wilayah Nahdatul Ulama (NU) Jawa Timur, H.Ali berkata, Kiai Abdullah Faqih sudah menerima isyarat ghaib melalui mimpi.

''Dalam mimpi itu Gus Dur berada di bawah sebatang pokok kelapa dan di bawah sekelompok manusia sedang menggoyang pokok tersebut sehingga Gus Dur terumbang-ambing.

''Tetapi walaupun banyak orang sudah ketakutan Gus Dur akan jatuh, ternyata beliau tetap duduk tenang di atas pokok berkenaan," kata Ali.

Demikianlah secebis catatan mengenai Gus Dur, walaupun pelbagai tafsiran dibuat berhubung tindak tanduknya namun Gus Dur seperti mana diminta oleh pelbagai Indonesia selepas kematiannya harus diiktiraf sebagai pahlawan nasional negara itu.

''Banyak idea kontroversi beliau, tetapi semuanya memberikan banyak manfaat kepada bangsa dan negara ini," kata Ketua Umum Muhammadiyah, Din Syamsudin.

Tokoh NU Kota Malang, Jawa Timur, Prof. Dr. Mas'ud Said pula berkata, untuk tempoh lima tahun lalu dan lima tahun akan datang tiada mana-mana pun pemimpin di Indonesia yang mampu menandingi kewibawaan Gus Dur.

Sememangnya Gus Dur akan dikenang dalam sejarah negara Indonesia seorang pemimpin yang mempunyai caranya tersendiri. Gus Dur berani menempuh segala cabaran dan dugaan menjadi Presiden Indonesia, biarpun dengan kekurangan yang ada kepada dirinya.

Allahyarham berjasa besar apabila sedia tampil memimpin negara berkenaan ketika ia berhadapan dengan pelbagai kemelut dan konflik. Mungkin Gus Dur tidak berjaya sepenuhnya tetapi jasa Allahyarham tetap akan dikenang dalam lipatan sejarah politik Indonesia.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.