BSN buka 20 cawangan Islamik


KOTA BHARU – Bank Simpanan Nasional (BSN) merancang membuka 20 buah cawangan perbankan Islam miliknya di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, buat permulaan, sebanyak dua buah cawangan perbankan Islam dibuka di Pengkalan Chepa di sini dan di Kuala Nerus, Terengganu.

Menurutnya, pada masa yang sama, BSN turut merancang untuk menubuhkan sebuah entiti perbankan Islam sepenuhnya yang berasingan sepenuhnya daripada perbankan konvensional.

“Kita sedang mengkaji untuk menubuhkan sebuah entiti perbankan Islam (secara berasingan) tetapi ia bukan dalam tempoh terdekat mungkin dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

“Sistem perbankan Islam bukanlah sesuatu yang baru di BSN kerana kita memulakan operasi perbankan Islam bermula pada tahun 1994 dengan hanya dua produk iaitu Simpanan Wadiah dan Al-Mudharabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Cawangan Perbankan Islam BSN di Pengkalan Chepa di sini semalam.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Adinan berkata, lokasi cawangan baru perbankan tersebut bukan sahaja tertumpu di kawasan majoriti penduduk Melayu dan Islam kerana sistem kewangan itu turut diterima pakai oleh semua pihak tanpa mengira kaum serta agama.

“Pelanggan kita juga bukan hanya terhad kepada orang Melayu dan Islam malah ramai di kalangan bukan Islam menerima sistem Perbankan Islam yang memberikan jaminan kepada mereka.

“Ini merupakan inisiatif BSN untuk menjadi salah satu peserta dalam persekitaran Perbankan Islam yang lebih bersepadu dan sentiasa berdaya saing dengan lain- lain institusi kewangan,” ujarnya.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.