Messi Pemain Terbaik Dunia 2009


ZURICH - Lionel Messi muncul pemain pertama dari Argentina yang berjaya memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA selepas diumumkan sebagai penerima bagi tahun 2009 awal pagi semalam.

Penyerang berusia 22 tahun itu yang turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah 2009 awal bulan ini meraih pengiktirafan tersebut selepas membantu Barcelona muncul juara empat piala, Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, Liga Sepanyol dan Piala Raja-Raja Sepanyol.

"Ini merupakan penutup kepada tahun paling gemilang buat Barcelona, rakan-rakan sepasukan dan juga diri saya sendiri," kata Messi selepas menerima trofi tersebut daripada Presiden UEFA yang juga bekas pemain Perancis, Michel Platini.

Messi yang menyertai Barcelona sejak berusia 13 tahun pada 2000 telah memperolehi 1,073 mata daripada undian para jurulatih kebangsaan dan juga ketua pasukan kebangsaan dari 147 buah negara.


Pemenang tahun lalu, Cristiano Ronaldo menduduki tempat kedua dengan 352 mata diikuti rakan sepasukan Messi di Barcelona, Xavi dengan 196 mata.

Namun undian terhadap Messi itu jelas berdasarkan prestasinya bersama Barcelona kerana aksinya ketika bersama skuad kebangsaan Argentina di bawah bimbingan Diego Maradona cukup mengecewakan.

Sebelum majlis berlangsung, Messi sempat memberitahu pemberita yang dia tidak mampu menjelaskan kenapa dia gagal beraksi pada tahap terbaik ketika bersama skuad kebangsaan negaranya itu.

"Saya tidak tahu. Saya cuba lakukan sama seperti saya lakukan untuk Barcelona. Tapi saingan kelayakan Piala Dunia cukup menyukarkan dan satu usaha keras sebelum akhirnya kami berjaya layak.

"Saya yakin pusingan akhir Piala Dunia 2010 pasti berbeza untuk kami. Ia pasti lebih baik untuk Argentina dan diri saya sendiri," kata Messi.

Anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu telah diperkenalkan pada tahun 1991. - Reuters

1 comment... add one now

alex alex Khamis, 24 Disember 2009 pada 9:38:00 PTG SGT
tahniah messi..makasih kabarkan tuan adha!! akoe jua mohon copy tuk kabarkan pada sahabat ya.. atas ehsan dari kamoe tuan! pastinya..hehe makasih bro..

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.