Khasiat pucuk gajus

Khasiat tumbuhan tropika, khususnya untuk kesihatan diketahui ramai, malahan beberapa kaji selidik dilakukan di seluruh dunia mengesahkan kebaikannya.

Contohnya, pucuk gajus mengandungi agen antibakteria yang mampu membunuh bakteria rintang antibiotik seperti meticillin resistant staphylococcus aureus (MRSA) yang sering menyebabkan kematian mereka yang terkena jangkitannya.

Penyelidik Mardi, Dr Mohd Shukri Mat Ali @ Ibrahim, berkata penemuan tindakan antiseptik tumbuhan dikenali dengan nama saintifik Anacardium occidentale itu hasil perbandingan dengan beberapa tanaman tradisional lain seperti pegaga, mangga dan pucuk ubi.

Beliau berkata, keunikan khasiat pucuk gajus setanding minyak pati tea tree itu dimanfaatkan bagi menghasilkan minyak pati gajus menerusi proses penyulingan.

Minyak pati gajus dihasilkan, katanya, bukan saja boleh digunakan sebagai alternatif dos antibiotik lebih murah dan berkeupayaan tinggi untuk rawatan di hospital, malah dibangunkan sebagai ramuan produk kosmetik seperti syampu dan krim.

“Hasil kajian menunjukkan keupayaan minyak pati gajus merencat pertumbuhan bakteria adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding minyak pati tea tree, juga dalam tempoh lebih singkat.

“Minyak pati gajus berciri antiseptik ini boleh diguna secara terus dengan menyapunya pada luka atau kudis serta dijadikan bahan utama produk kosmetik.

“Hasil kajian ini turut bermanfaat mengurangkan kos import antibiotik dari luar negara bagi rawatan pesakit terkena jangkitan MRSA seperti radang paru-paru yang kini mencecah lebih RM19,000 kerana ia juga boleh dijadikan sebagai dos antibiotik,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas proses penghasilan minyak pati gajus itu, Mohd Shukri berkata, ia menjimatkan kerana penyulingan dilakukan hanya menggunakan air.

Kelebihan itu, katanya membolehkan minyak pati gajus dipasarkan pada harga RM9 bagi 10 gram berbanding RM15 harga pasaran minyak pati tea tree dengan kuantiti sama.

“Bagi menghasilkan minyak pati gajus, pucuk segar dimasukkan dalam kelalang mesin penyulingan, steam distiller dan dicampur air dengan kuantiti dua kali ganda lebih banyak berbanding berat pucuk digunakan.

“Mesin itu turut dilengkapi tiub khas bagi memerangkap dan mengumpul minyak pati yang meruap apabila suhu ditetapkan melebihi 100° celcius,” katanya.

Mohd Shukri berharap hasil kajiannya yang memenangi pingat perak pada pameran BioMalaysia tahun ini, dapat menyokong pertumbuhan industri perubatan dan kosmetik berasaskan tanaman dan sumber asli tempatan.

Setakat ini, kayanya, dua syarikat tempatan menyatakan minat untuk mengkomersialkan minyak pati gajus dan bagi menjayakannya permohonan paten sudah difailkan, selain dalam proses memohon Teknofund.

- BERITA HARIAN Khasiat pucuk gajus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.