Geng Arab samun emas guna pukau


KUALA TERENGGANU 9 Dis. 2009 - Seorang pemborong barang kemas dari Kuala Lumpur rugi hampir RM1 juta apabila barang kemas yang ditinggalkan di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini dilarikan sekumpulan lima orang dipercayai warga Arab hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang, selepas mangsa meninggalkan tiga beg berisi barang kemas dalam peti besi di sebuah kedai emas berhadapan Pasar Payang.

Mangsa yang baru tiba di Kuala Terengganu bersama dua rakannya meninggalkan barang kemas itu sebelum pergi makan tengah hari di sebuah kedai makan di hadapan pasar itu.

Pemilik kedai emas terbabit, Zakaria Yusof, 46, berkata, dia bersama isteri, adik ipar dan anaknya berusia 11 tahun sedang melayan beberapa orang pelanggan apabila lima orang termasuk seorang wanita dipercayai warga Arab tiba-tiba memasuki kedainya.

"Empat warga Arab itu berdiri di depan kedai serta berpura-pura melihat barang kemas yang dijual. Mereka kemudian menepuk bahu kami termasuk para pelanggan menyebabkan badan terasa kebas dan lidah menjadi kelu.

"Seorang lagi warga Arab itu kemudian pergi ke bilik yang menempatkan peti besi yang hanya dikunci secara biasa dan tidak menggunakan kunci bernombor, lalu mengambil tiga beg berisi barang kemas berkenaan," katanya ketika ditemui di kedai terbabit hari ini.

Zakaria berkata, mereka tidak memahami percakapan penjenayah tersebut apabila salah seorang daripada mereka cuba berkomunikasi dengannya. Malah, empat rakannya itu bercakap menggunakan bahasa Arab sesama mereka.

Katanya, mereka semua berasa seperti 'tersedar' apabila salah seorang pelanggan menegur beg yang dibawa lelaki Arab itu milik tuan punya kedai atau lelaki tersebut.

"Sebaik sahaja penjenayah itu keluar dari kedai, saya mengarahkan adik ipar saya mengejar dengan motosikal namun gagal menemui mereka.

"Saya kemudian segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian tersebut," ujarnya.

Sementara itu, pemborong yang hanya mahu dikenali sebagai Teo, 30, berkata, kedai emas itu merupakan yang ketiga disinggahinya sejak tiba di Kuala Terengganu pagi ini.

"Selalunya saya meninggalkan beg berisi barang kemas dalam peti besi kedai kerana memberi peluang kepada pemilik kedai memilih barang kemas yang ingin dibeli.

"Hampir lapan tahun dalam perniagaan barang kemas, ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku," katanya yang enggan mengulas panjang.

Pemborong yang berasal dari Seri Petaling, Kuala Lumpur itu mendakwa, dia rugi kira-kira RM900,000 ekoran kehilangan barang kemas tersebut.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.