Dafi AF6 pelajar terbaik LimKokWing

CYBERJAYA: Dengan meletakkan bapa sebagai inspirasi, Gaddafi Datuk Seri Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi, 21, dipilih pelajar terbaik Akademi Senireka Muzik dan Bunyi LimKokWing sempena majlis Graduasi Kelas 2009 Universiti LimKokWing, di sini semalam.

Lebih membanggakan, majlis yang berlangsung di kampus universiti itu turut dihadiri Ismail yang juga Ahli Majlis universiti berkenaan.

Bintang Akademi Fantasia 6 yang popular dengan single pertama, Bila Terasa Rindu itu, berkata sifat tidak putus asa bapanya memberi inspirasi untuknya berjaya dalam bidang yang diceburi.

"Bagi saya, bapa seorang ahli politik yang berjaya dan kecekalannya menjadi pendorong kepada saya. Saya juga ingin berjaya sepertinya, bukan dalam bidang politik tetapi dalam bidang yang amat saya minati iaitu muzik," katanya.

Seramai 567 pelajar universiti terbabit, termasuk 60 peratus pelajar antarabangsa menerima diploma dan ijazah pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Presidennya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing.

Anugerah Datuk Seri Najib Razak dalam bidang kreativiti dan inovasi diterima Keith Aloysious Soertsz, Mohamad Suaidy Mohd Kamaruzzaman, Niran Vicktor Benjhamin dan Ong Shiou Meng.

- BERITA MINGGU

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.