Tawakal mesti didahului dengan ikhtiar

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Setiap orang beriman diperintahkan agar bertawakal kepada Allah SWT secara benar seperti diperintahkan agama. Jika tersalah memahami konsep tawakal, maka tentu saja akan membawa kepada kesesatan serta mengundang kemurkaan Allah SWT. Allah SWT menyuruh hamba-Nya bertawakal dapat kita melalui ayat berikut yang bermaksud:

"Kepada Allah hendaklah kamu bertawakal jika kamu benar-benar beriman" (Al-Ma-idah: 23)". Ayat ini memberi penjelasan bahawa orang yang bertawakal itu sifat yang mesti ada pada setiap orang yang beriman. Tawakal yang dikehendaki dalam Islam bukanlah menyerah bulat-bulat kepada Allah SWT. Tawakal yang sebenarnya mestilah terlebih dulu berikhtiar dan usaha yang bersungguh-sungguh serta berterusan sehingga berjaya.

Walaupun begitu, masih ada segelintir manusia dalam masyarakat kita yang tersalah memahaminya, sehingga ada yang sanggup mengatakan manusia tidak perlu penat bekerja dan berusaha, serahkan saja pada Allah SWT, kerana semuanya ditentukan oleh-Nya sejak azali lagi. Tawakal begini adalah salah sama sekali dan menyeleweng daripada pengertian sebenar.

Pengertian yang sebenar tawakal menurut A.Z Abidin dalam bukunya Sunnah Allah dan Ikhtiar Manusia memberi penjelasan sebagai berikut: "�mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (sunnah Allah) serta mengharap pertolongan Allah SWT. Sebagai contoh, seorang yang sedang sakit, kalau ia mahu sembuh pergi berjumpa doktor (seorang ahli) untuk meminta nasihat (pertolongannya) dan menyerah dalam segala usahanya itu kepada Allah. Inilah tawakal."

Untuk lebih jelas lagi mengenai pengertian tawakal, Rasulullah SAW didatangi orang Badawi dan berkata, "Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakal kepada Allah, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakal kepada Allah" (Al-Hadis).

Daripada penjelasan di atas maka bolehlah kita mengambil satu rumusan bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah berusaha terlebih dulu sebelum bertawakal kepada Allah SWT.

Sebagai manusia yang inginkan kejayaan dan kesejahteraan hidup, haruslah berusaha dan bekerja dengan tekun. Lantaran kesempurnaan hidup (di dunia dan di akhirat) tidak akan tercapai apabila ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umat-Nya menganggur dan berpeluk tubuh, hanya berserah buta kepada Allah SWT. Tawakal mesti didahului dengan ikhtiar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.