'Saya terlalu kerdil' - Wan Sharmila


Kisah pelakon hitam manis, Wan Sharmila melarikan diri daripada media kerana mengelak ditanya isu perceraiannya dengan penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom membuat wanita ini penasaran.

Bukan niatnya untuk melarikan diri atau bersembunyi di sebalik kenyataan yang benar.

Faktanya, sememangnya Wan Sharmila, 28, dan Fazli Baharom, 37 tahun, sudah sah bercerai tanggal 23 Oktober 2009 lalu. Mereka berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Jelitawan ini tidak mengelak untuk mengakui hakikat tersebut. Hanya yang diminta pelakon yang kini hangat dengan drama Tari Tirana adalah ruang untuk membenarkan dia dan bekas suaminya melalui alam perpisahan secara aman.

Dia juga tidak mahu mengundang sensasi atau menjadi artis yang suka menjaja hal peribadi.

"Saya mengaku sudah berpisah, tetapi saya minta maaf kerana tidak mahu berkongsi masalah rumah tangga kami dengan khalayak. Saya harap mereka memahami saya," katanya meminta pengertian.

Namun, beritahu wanita yang senang disapa sebagai Wan ini, ke runtuhan rumah tangganya bukan disebabkan orang ketiga.

Bukan juga kerana berasa diri sudah semakin popular, maka dia mahu bebas terbang seorang diri. Sebaliknya kerana sudah tiada keserasian antara mereka berdua.

"Kami tidak mengambil keputusan berpisah secara terburu-buru.

"Sebaliknya, sudah dua tahun kami cuba mencari keserasian bersama, tetapi akhirnya perpisahan adalah jalan yang terbaik," bicaranya lagi yang berpisah secara baik dan masih bersahabat dengan bekas suaminya itu.

Meniti hari dengan status baru, Wan saat ditanya tentang perasaannya, tenang menjawab, dia berusaha menjadi seorang wanita yang tabah. Berusaha terbang sendiri tanpa ada tali yang mengikat.

Selama tiga tahun menjadi isteri dan kini kembali solo, ujar Wan, memang pada mulanya tidak terbiasa. Tetapi dia tidak boleh menoleh ke belakang. Hidup harus ke hadapan.

Sedih biar disimpan jauh dalam hati kerana yang dipegang kini hanya semangat dan ketabahan seorang wanita yang baru.

Nekad membisikkan tekadnya, ujar Wan: "Saya mahu jadi orang baru. Hidup harus diteruskan. Saya mahu lebih fokus dalam dunia lakonan."

Di sebalik sikap optimis yang diambil, satu kegusaran yang tersimpan dalam benaknya adalah pandangan masyarakat kelak jika ternampak dia keluar bersama lelaki. Sedang ironinya, lelaki-lelaki tersebut hanya kawan biasa.

"Saya harap tidak ada yang menghukum saya kelak kerana saya juga adalah orang biasa yang menjalani kehidupan biasa," ucapnya yang menyifatkan lelaki perlu ada di belakang seorang wanita sebagai pemberi perlindungan dan kasih sayang.

Dilempar nista

Masih mempunyai kaitan dengan Fazli, banyak yang melempar nista mendakwa peluang buatnya terbabit dalam dunia seni adalah kerana bekas suaminya itu. Jika bukan kerana Fazli, Wan tidak akan pernah wujud dalam peta industri.

Wan senyum. Namun, ada terselit kepahitan yang ditelan di sebalik senyumannya itu. Perlahan-lahan, tetapi tegas dia menjelaskan bukan Fazli yang membawa dia masuk ke dalam industri.

Sebaliknya dia sendiri yang mencuba nasib sendiri. "Sebelum menjadi pelakon, saya bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat guaman di Johor Bahru.

"Dalam masa yang sama, saya juga menjadi model majalah. Satu hari sewaktu menjadi model, saya terserempak dengan agensi lakonan. Agensi tersebut yang membawa saya kepada Radius One.

"Dari situlah karier saya bermula sebagai pelakon di bawah bumbung Radius One. Sebenarnya saya tidak banyak berurusan dengan Fazli, sebaliknya dengan penulis skrip, Izat. Tetapi jodoh saya dengan Fazli pada waktu itu, maka kami berkahwin," ungkapnya yang juga menafikan berkahwin dengan bekas suaminya itu untuk hidup mewah.

Sesekali Wan yang duduk di hadapan saya tersenyum dan menggelengkan kepala. Menurutnya, dia tidak mengerti mengapa kehadirannya dalam industri sepanjang tiga tahun ini bagai tidak diterima khalayak.

Di alam maya, sesekali mengintai apakah dirinya diperkatakan khalayak, dia menangis. Menangis membaca banyak komen negatif dan tidak membantu membina kerjayanya. Akhirnya dia lelah dan tidak mahu mengetahui perkembangan diri baik di Internet mahupun di akhbar.

"Saya bukan nak popular, malah tak pernah rasa popular. Saya terlalu kerdil untuk disamakan dengan pelakon-pelakon hebat tanah air. Saya hanya mahu menjalani kerjaya ini seperti biasa. Saya mahu cari duit dan tumpahkan bakat yang saya ada dengan sebaik mungkin.

"Sebab itu sekarang saya sudah tidak ambil peduli tentang apa yang ditulis orang. Memang banyak yang negatif, tetapi saya tahu, masih ada terselit nilai positif yang ditulis dan diperkatakan orang juga.

"Jadi, saya abaikan semua kerana saya hanya mahu berjaya di dalam karier yang semakin saya sayang ini," tegasnya optimis.

Disangka masih remaja

Kecil molek dan sering terlibat dengan drama-drama remaja seperti Rona Roni Makaroni, Cinderella, Kisah Kaisara dan kini Tari Tirana, ramai yang menyangka usia Wan baru mencecah 22 tahun.

Sementelah berat badan yang kini hanya 43 kilogram dan sering berpakaian ringkas seperti remaja lain, hakikatnya, dia merupakan seorang wanita matang yang sudah melewati usia 28 tahun. Tetapi kerana sering diberi watak remaja, Wan tampak lebih muda daripada usia.

Sememangnya bukan mudah bagi Wan membawa watak remaja. Sebagai wanita matang, menyelami kembali zaman muda dan lagi harus bersifat keanak-anakan adalah satu emosi yang harus diterjemahkan dengan baik.

Malah menerusi drama Tari Tirana misalnya, kata Wan, sifat remaja dipupuk tebal untuk menjayakan watak Tirana. Hanya banyak yang tersalah tafsir kalau Tari Tirana bermaksud dia sebagai seorang profesional dalam bidang tarian.

Sebaliknya drama tersebut membawa maksud dirinya sebagai Tirana, penari amatur yang mahu menjadi profesional dalam bidang tersebut.

"Kerana itu saya banyak melihat lakonan sendiri untuk menjadi lebih baik. Kalau boleh mahu berlakon di bawah arahan Khabir Bhatia dan terus bekerja dengan Aziz M. Osman," ujarnya yang pasrah jika Radius One masih mahu bekerjasama dengannya selepas ini.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.