Satu bahtera dua nakhoda bakal tenggelamkan PAS

Oleh Jamhariah Jaafar

Seminar Memperkasakan Parti oleh Pas kelmarin berakhir dengan lebih 1,000 perwakilannya pulang bersama lebih banyak persoalan yang bermain di benak ahli akar umbi selepas mereka tidak menerima jawapan sewajarnya daripada barisan kepemimpinan.

Seorang peserta menegaskan: "Saya datang ke sini untuk mendengar penjelasan daripada pelbagai kemelut dan krisis yang kami dengar serta baca daripada pelbagai saluran. Tapi apa yang berlaku ialah perwakilan pula mengemukakan soalan, meluahkan rasa tidak puas hati, mengutuk pemimpin dan memberi cadangan.

"Bagaimanapun, saya kecewa kerana tiada seorang pun pemimpin di atas pentas memberi penjelasan terhadap pelbagai persoalan yang ditanya," katanya yang 'panas hati' walaupun suasana ketika seminar di Markas Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar itu hujan lebat.

Daripada dialog panas berkisar kepada analisis pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aziz Bari, yang dikritik teruk kerana dikatakan menjadi pencetus kacau bilau di kalangan pentadbiran parti sehingga seminar terpaksa diadakan kelmarin, kepada persoalan siapa sebenarnya berkuasa di dalam Pas, Mursyidul Am atau Presiden?

Dalam suasana panas dewan yang sesak, dengan kejadian litar pintas dan sistem pembesar suara sering terputus, kumpulan media perdana dan blogger termasuk penyokong kuat parti itu sendiri dikritik hebat kerana memberi ulasan yang dianggap memberi persepsi buruk kepada Pas.

Tidak terkecuali dikutuk ialah lidah rasmi Pas sendiri, Harakah, yang dikatakan lembap dalam menyalur maklumat sehingga membuatkan kebanyakan ahli terpaksa bergantung kepada blogger untuk mendapat maklumat.

Antara blogger yang dikritik hebat ialah Mursyidul Amnya sendiri, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang ditegur kerana menggunakan saluran internet individu itu untuk menyalurkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa pemimpin parti.

"Niat Tuan Guru (Nik Aziz) baik, tapi prosedurnya salah kerana melepaskan rasa tidak puas hati melalui blog peribadinya. Nik Aziz menunjukkan sikap kurang baik dalam organisasi ini," kata wakil Johor, Suhaizan Kaiat. Kemelut kuasa antara Nik Aziz yang dikatakan selalu bercanggah dengan Datuk Seri Hadi Awang sebagai Presiden turut menjadi persoalan yang tidak dijawab.

Seorang lagi perwakilan menegaskan: "Siapa pihak yang ada kuasa dalam parti? Presiden atau Mursyidul Am? Kita tidak mahu ada dua nakhoda dalam satu kapal kerana jika ini berlaku lambat laun kapal ini akan karam".

Ahli juga pulang dengan rasa terkilan kerana isu membabitkan Pas Selangor tidak diberi penjelasan sewajarnya, malahan wakil negeri itu, Solehin Mohyi, meminta Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hassan Ali menjawab sendiri mengenai berapa kali dan mengapa tidak dapat hadir di dalam beberapa pertemuan penting parti.

Perwakilan turut menyentuh isu kerajaan perpaduan yang pertama kali dicadangkan Hadi, terus menerus menjadi tajuk yang masih tidak difahami ahli akar umbi kerana ada pemimpin diketahui mengadakan rundingan dengan Umno, terutama yang membabitkan agenda perjuangan bangsa Melayu.

Ada yang tidak faham mengapa barisan kepemimpinan hanya melihat dan memberi fokus kepada perjuangan Islam, sedangkan perjuangan bangsa Melayu yang memang beragama Islam 'dihalang'.

"Kita perlu mengkaji semula hala tuju Pas dan melihat kepada matlamat asal perjuangan. Kerjasama dengan parti bukan Islam mesti membawa kemenangan bukan kerugian. Pada masa sama, kita dihalang bercakap mengenai hak Melayu Islam.

"Isu cadangan kerajaan perpaduan, satu gagasan yang besar dalam negara tidak difahami ahli dan tidak dibincang dalam mana-mana plat- form parti tapi menjadi fitnah kerana rakyat tidak faham. Bila diasak, Nik Aziz tarik 'brek'. Rakyat keliru kerana kalau tidak benar kenapa perkara ini dilontarkan (pemimpin Pas sendiri)," kata seorang perwakilan.

Seperti dijangka, topik dan tumpuan diberikan kepada Dr Aziz, yang dikritik hebat kerana memberi pelbagai analisis yang didakwa membawa persepsi negatif kepada Pas. Aziz ketika membentangkan pendapatnya menegaskan, perwakilan tidak wajar mengkritiknya kerana beliau hanya seorang 'penonton yang mengikuti perlawanan bola.'

Katanya, parti itu tidak wajar memiliki sikap suka membidas dan menyalahkan orang lain, terutama Umno setiap kali berlaku perkara negatif kepada parti itu, sebaliknya mereka harus melihat kepada diri sendiri dan mencari jalan membetulkan sendiri kesilapan yang ada.

"Pas harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti," katanya. Satu bahtera dua nakhoda bakal tenggelamkan PAS

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.