Kunjungan bermakna Presiden Hu Jintao, Presiden Susilo

Dalam masa selang sehari, Kuala lumpur dikunjungi dua pemimpin kerajaan yang mewakili penduduk terbanyak di dunia. Semalam bermula lawatan rasmi Presiden China, Hu Jintao dan hari ini akan tiba Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Kita rasa berbesar hati menerima kedatangan kedua-dua pemimpin tersebut. Ini kerana hubungan dua hala Malaysia-China dan Malaysia-Indonesia berada di atas landasan yang baik biarpun ada ketika berlaku ketegangan akibat salah faham logistik. Ini kerana ia melibatkan kedaulatan negara masing-masing misalnya masalah kita dengan China dalam isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly dan dengan Indonesia pula isu perairan Ambalat.

Kita yakin dengan kehadiran Hu Jintao dan Susilo adalah petanda bahawa sebarang masalah berbangkit melibatkan hubungan dua hala Malaysia dengan China atau Indonesia boleh dirunding atas semangat ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN.

Malah kita percaya hubungan dua hala yang terjalin berkurun lamanya dapat diperkukuhkan lagi melalui kunjungan Presiden China dan Presiden Indonesia pada hari ini.

Dalam era dunia sekarang, hubungan yang diikat melalui perjanjian dalam aspek politik, sosio-budaya dan ekonomi perlu disegarkan melalui kunjungan para pemimpin antara dua negara.

Sejak merdeka 52 tahun lalu, Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara jiran termasuk China dan Indonesia. Kita tidak mahu masalah titik bengik diperbesar-besarkan hingga mengeruhkan hubungan luar.

Sebab itu, daripada era Tunku Abdul Rahman hingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia amat menjaga hubungan dua hala dengan mana-mana negara agar ia memberi faedah dan nikmatinya dapat dirasai oleh kedua-dua pihak.

Apatah lagi, dunia hari ini mahu tidak mahu harus melihat ke rantau Asia dan Asia Tenggara sebagai destinasi utama dalam mengembangkan sektor ekonomi mereka.

Dalam konteks ini, Kuala Lumpur-Beijing dan Kuala Lumpur-Jakarta perlu meningkatkan kerjasama dua hala dalam segala aspek.

Dasar luar Malaysia yang menumpukan kepada hubungan dua hala yang mementingkan soal kestabilan sosioekonomi dan politik serantau diyakini telah memacu negara mencapai impian menjadi negara membangun yang disenangi.

Oleh itu melalui kunjungan pemimpin besar dari China dan Indonesia ini, kita berharap pendekatan berlembut Malaysia dalam menentukan polisi hubungan antarabangsa akan berterusan. Ini penting supaya dasar ini mampu terus mewujudkan suasana politik yang harmoni antara Malaysia dengan negara lain.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib kelihatan bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan semua negara terutama China dan Indonesia.

Apa pun kita mengharapkan, lawatan Hu Jintao dan Susilo memberi manfaat kepada dua-dua pihak selain menjernihkan 'kekeruhan' yang mungkin berlaku di antara Malaysia dengan China atau Indonesia.

Yang pasti, lawatan rasmi mereka mencatatkan sejarah dalam memperluaskan hubungan dan kerjasama ekonomi perdagangan, pendidikan, pelancongan dan sosial, yang sebenarnya sudah pun berjalan dengan baik.

- UTUSAN Kunjungan bermakna Presiden Hu Jintao, Presiden Susilo

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.