Kelantan Isytihar Cuti Ahad Ini Sempena Final Piala Malaysia

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengisytiharkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa bagi negeri Kelantan sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 menentang Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat exco hari ini yang turut menyatakan bahawa cuti peristiwa itu mengambil kira faktor keselamatan di jalan raya bagi para penyokong bolasepak Kelantan yang akan pulang dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Kelantan.

"Sebagai habuan kerana melayakkan diri ke perlawanan akhir tersebut, kerajaan negeri juga akan membiayai pakej mengerjakan umrah serta wang saku kepada semua pemain, pegawai dan pengurusan pasukan bolasepak Kelantan 2009," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perlis dengan agregat 5-1 pada peringkat separuh akhir sekaligus membuka peluang Kelantan merebut piala berprestij itu setelah kempunan hampir 40 tahun selepas tewas 0-2 kepada Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1970.

Ditanya sama ada habuan lain menanti pasukan jika Kelantan menang pada perlawanan Sabtu ini, Ahmad berkata habuan seterusnya akan difikirkan kemudian.

Beliau turut menasihatkan penyokong Kelantan supaya berdisiplin dan memberi sokongan kepada pasukan Kelantan berdasarkan semangat kesukanan.

"Kita juga mahu mereka pulang kembali ke Kelantan dengan selamat dan tidak perlu terburu-buru di jalan raya," katanya.

- BERNAMA Kelantan Isytihar Cuti Ahad Ini Sempena Final Piala Malaysia

1 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.