Isu remeh tidak gugat hubungan Malaysia-Indonesia

Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isuisu remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak untuk menggugat hubungan di antara kedua-dua negara tetapi akan terus berusaha mengukuhkan hubungan erat dua hala yang sedia terjalin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada satu sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Najib berkata sementara ada pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan masalah dalam hubungan di antara kedua-dua negara, hakikat adalah sebaliknya kerana pemimpin Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang akrab.

"Meskipun kita mempunyai beberapa isu yang tertangguh, ia tidak seharusnya menjadi keutamaan yang melebihi perkara-perkara baik yang dilakukan kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan hubungan. Kita mempunyai hubungan tradisional yang akrab seperti kunjungan antara pemimpin Indonesia ke Malaysia dan sebaliknya.

"Kita sedang melihat kepada interaksi lebih erat antara institusi seperti media dengan media, Parlimen dan Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan dengan badan bukan kerajaan," katanya.

Najib berkata keduadua mereka yang mengadakan pertemuan empat mata hari ini juga mahu program belia antara kedua-dua negara ditingkatkan manakala kerjasama ekonomi terus diperluaskan.

Najib berkata meskipun dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat, kecuali pada tahun ini akibat krisis ekonomi dunia, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan urusniaga dagangan di antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia berharap lebih banyak ahli perniagaan Indonesia melabur di negara ini kerana ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Kami juga berbincang tentang jaminan bekalan makanan dan bagaimana kita dapat membuat pelaburan bersama dalam bidang ini. Indonesia mempunyai tanah dan sumber manusia. Kami turut berbincang tentang jaminan bekalan tenaga di mana lebihan tenaga di Malaysia boleh dipindahkan ke Indonesia, terutamanya ke kawasan luar bandar," kata Perdana Menteri.

Najib berkata kedua-dua mereka turut bersetuju akan Malaysia dan Indonesia, yang masing-masing menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dan kedua terbesar dunia, mengambil tindakan bersama bagi menangkis dakwaan kempen anti-minyak sawit di barat.

Bidang lain yang dikenal pasti di mana Malaysia dan Indonesia boleh bekerjasama, kata Najib ialah sektor pelancongan dan industri makanan halal, "yang kedua-dua negara mempunyai kepentingan".

"Kami juga bersetuju untuk mewujudkan lebih banyak mekanisme yang diinstitusikan untuk membolehkan tindakan segera diambil terhadap cadangan-cadangan proaktif.

"Kami juga bersetuju untuk menarik lebih ramai rakan-rakan Malaysia di Indonesia dan lebih ramai rakan Indonesia di Malaysia. Ini akan membolehkan negara masing-masing mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di negara berkenaan berhubung isu-isu yang berbangkit dari semasa ke semasa," kata Najib.

Menjawab soalan pemberita, Perdana Menteri menegaskan bahawa sementara Malaysia menghargai kehadiran pekerja asing, terutamanya para pekerja Indonesia di Malaysia, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang Malaysia.

"Sementara kita berterima kasih dengan kehadiran mereka, sesiapa yang melanggar undang-undang perlu menerima padahnya. Akibat yang sama juga perlu dihadapi mereka yang menganiaya pekerja asing termasuk pembantu rumah meskipun mereka adakan majikan warga Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia berharap para pekerja Indonesia yang ingin bekerja memasuki negara ini dengan sah dan mematuhi peraturan pekerjaan Malaysia.

"Jika mereka masuk ke negara ini secara haram, mereka membuka peluang untuk dieksploitasi pihak-pihak tertentu. Kami akan bertindak adil dan saksama kepada semua pihak, termasuk kepada majikan Malaysia. Setiap orang mesti mematuhi undang-undang.

"Kami mempunyai beberapa kes berprofil tinggi membabitkan penderaan pembantu rumah. Pada masa sama, kami berharap para pekerja Indonesia tidak melanggar undang-undang atau bersedia menerima akibatnya, dan berharap kerajaan Indonesia memahami keadaan ini," kata Najib.

Menyifatkan perbincangannya dengan Susilo amat bermakna, Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan peluang-peluang dalam semua bidang seperti ekonomi, interaksi dan jaminan bekalan makanan.

- BERNAMA Isu remeh tidak gugat hubungan Malaysia-Indonesia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.