'Di sini baik-baik saja' - Acha Septriasa


"Senang sekali belajar di sini, saya boleh ke kuliah dan melakukan tugasan sama seperti pelajar yang lain. Tiada layanan istimewa, tetapi saya tidak menafikan ada juga teman-teman mengusik dan minta bergambar.

"Tetapi tidaklah sampai saya berasa lemas atau tidak selesa. Bahkan, mereka baik sekali pada saya dan tidak lokek membantu.

"Pihak media di sini, kalau ada yang mahu mengaturkan sesi fotografi, mereka gunakan saluran yang betul misalnya berhubung dengan pihak pengurusan dan label yang mengedarkan album saya di sini untuk mengadakan temu janji.

"Bukan main serbu-serbu, ambil gambar curi dari jauh atau erti kata lain berlagak seperti paparazzi. Semuanya amat menyenangkan sekali," katanya.

Akui Acha, walaupun ada sedikit perbezaan dari segi loghat bahasa dan budaya, dia tidak kekok atau berasa sunyi kerana orang tuanya juga menetap di Kuala Lumpur memandangkan bapanya bekerja dengan Petronas.

Khabarnya, di sini juga Acha bertemu cinta baru selepas hubungannya dengan Irwansyah berakhir tahun lalu. Jejaka bertuah itu dipercayai anak orang kenamaan di Malaysia.

"Tidak dinafikan ada yang berusaha mencuri hati saya. Malah saya juga punya teman lelaki yang rapat. Status anak pembesar negeri atau anak kenamaan bukanlah perkara yang saya kejarkan.

"Saya ikhlas bersahabat dengan sesiapa pun dan dalam hal teman lelaki saya lebih senang menganggap hubungan sebagai sahabat.

"Apatah lagi, saya ke Malaysia untuk mengejar cita-cita jadi saya tidak mahu cinta menjadi satu hal yang sulit untuk saya mendapatkan apa yang saya impikan."

Pertemuan dengan Acha diaturkan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syariat rakaman Suria Records (SRC), Bahanordin Deraman sempena pelancaran album Sinar Lebaran & Buka puasa bersama artis SRC, baru-baru ini di Maytower Hotel & Services Residence.

Kedatangannya ke sini selama tiga hari mulai 27 Ogos lalu turut dimanfaat untuk mempromosikan album mini solo pertamanya, Keputusan Hati. Album ini, menurut Acha sebuah bingkisan yang cukup peribadi, namun sedia dikongsi bersama peminat.

Melaluinya, Acha membuat pendedahan secara jujur mengenai pengalaman putus cinta dengan Irwansyah yang digandingkan dengannya melalui filem Heart.

"Semua melodi serta lirik keempat-empat lagu di dalam album ini saya sendiri yang hasilkan selain sebagai produser.

"Keputusan Hati bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi lebih kepada menghargai sebuah perpisahan dan persahabatan. Saya dan Irwan tidak pernah bersengketa dan kami berpisah secara damai.

"Selalu berjauhan antara sebab mengapa saya mengambil keputusan berpisah kerana enggan faktor ini membuatkan hubungan kami menjadi sulit yang akhirnya membawa pertengkaran.

"Kepada peminat yang selalu bertanya dan ingin tahu mengapa saya memutuskan hubungan, segala luahan ada di dalam album ini. Lebih daripada itu, sebenarnya album ini bukan saja memberi cabaran besar kepada saya apabila perlu mempersiapkan diri sebagai penyanyi solo, tetapi juga menghasilkan karya sendiri," katanya.

Acha kini dinaungi syarikat rakaman Limaduabelas Muzik yang dimiliki penyanyi Rossa sebaik kontraknya dengan Warner Music tamat. Album Keputusan Hati sudah menembusi pasaran Indonesia pada 15 Ogos lalu.

Tidak menolak akan kembali berduet bersama Irwan satu hari nanti, akui Acha dia masih menyayangi bekas teman lelakinya itu. Malah sehingga kini belum menemui jejaka yang mampu menandingi kemuliaan hati Irwansyah.

Acha juga tidak keberatan mengulas gosip percintaannya dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha. Gadis yang melonjak menerusi filem Heart ini memaklumkan, gosip itu timbul kerana 'serkap jarang' segelintir pihak.

"Kalau di Indonesia, asal rapat atau keluar dengan artis lelaki saja, sudah dibilang bercinta. Pasha itu sudah saya anggap seperti abang kerana dia artis, 'senior' jauh sekali mahu bercinta," katanya.

Acha kini berada di Jakarta untuk menjalani penggambaran sinetron 200 episod, Salwa yang dijangka selesai penghujung September ini. Pada 1 Oktober nanti, Acha terbabit dalam satu lagi projek, tetapi kali ini akan kembali ke set penggambaran filem komedi yang masih dirahsiakan judulnya.

"Ramadan kali ini sibuk sekali kerana selain terikat dengan penggambaran drama dan filem, saya juga sibuk mempromosikan album Keputusan Hati.

"Agak aneh ya kerana selalunya Ramadan yang lepas-lepas, saya mengurangkan aktiviti berlakon atau menyanyi kerana sebelum Ramadan sibuk dengan pelbagai acara selain mahu manfaatkan bulan mulia bersama keluarga dan beribadah.

"Namun, memandangkan sejak kembali ke kuliah, banyak tawaran terpaksa saya tolak. Justeru, pada cuti semester sajalah dapat saya manfaatkan peluang. Apatah lagi, produser dan pengarah di sana tidak pernah melupakan saya.

"Ini pun saya terpaksa menangguhkan 1 semester kerana mahu memberi tumpuan pada promosi album dan penggambaran. Tidak dinafikan, berlakon dan pada masa sama menjalani ibadah puasa memang memenatkan.

"Alhamdulillah, saya tidak tergoda dengan ujian meskipun terpaksa melihat segelintir kru di set penggambaran tidak segan silu minum di khalayak ramai.

"Puasa kali ini juga jarang sekali dapat makan masakan ibu kerana terlalu sibuk di set, kebetulan pula ibu berada di Malaysia menemani ayah. Bukan itu saja, Tarawih baru sekali sempat saya kerjakan," katanya.

>Profil

NAMA SEBENAR: Jelita Septriasa Sagitta Ahimsha.

TARIKH LAHIR: 1 September 1989

ASAL: Jakarta

KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran, Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya (tahun kedua, semester pertama).

FILEM: Heart, Love Is Cinta, In The Name Of Love, Apa Ertinya Cinta? dan Love.

DRAMA: Andai Ku Tahu, Sakinah dan Salwa.

ALBUM RUNUT BUNYI: Heart (2006), Love Is Cinta (2007) dan In The Name Of Love (2008).

ALBUM MINI: Hikayah Ramadan (2007) dan Keputusan Hati (terbaru)

LAGU TERBARU: Tentang Kita, Maunya Apa Lagi?, Keputusan Hati, Salahku Kau Selingkuh.

- HARIAN METRO

1 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.