Jaclyn Victor Pelakon Harapan Wanita FFM22

Percubaan pertama penyanyi popular, Jaclyn Victor sebagai pelakon membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita pada acara perasmian Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), malam tadi.

Jaclyn, 30, memenangi trofi itu menerusi lakonannya dalam filem terakhir arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime. Dia yang memegang peranan sebagai Bhavani dalam filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gemilang itu, bagaimanapun, tidak hadir pada acara penyampaian sempena Majlis Perasmian FFM22 di Centre Atrium, 1Borneo, di sini.

Turut menyerlah pada malam itu ialah Zahiril Adzim (Kami The Movie) yang diumumkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki, menafikan pencabar terdekatnya, Isma Yusof yang bertanding atas tiket Setem.

Pelakon cilik, Mohd Haziq yang sinonim dengan program bual bicara, Macam-Macam Aznil pula diangkat juri sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Syurga Cinta. Semua pemenang menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Sementara itu, filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les' Copaque Productions yang mengaut kutipan RM6.2 juta ketika tayangan meraih trofi Filem Box Office.

Bagi kategori Lagu Tema Asal Terbaik, tuah menyebelahi Sayangku Di Sisimu yang menjadi lagu latar Jin Hutan manakala Poster Terbaik menjadi milik Histeria terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

- BERITA HARIAN Jaclyn Victor Pelakon Harapan Wanita FFM22

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.