Gali mutiara ilmu dalam al-Quran


Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam kembali menjadikan al-Quran sebagai tonggak rujukan dan melaksanakan segala arahan serta pengajaran yang terkandung dalamnya.

Baginda turut menyeru umat Islam supaya mempertingkatkan penghayatan terhadap kandungan al-Quran dan memperkukuhkan perpaduan.

Baginda bertitah, al-Quran ialah bahan yang boleh merangsang kecemerlangan sekali gus mampu menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik dengan memiliki ciri kecemerlangan.

"Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa menggali segala mutiara yang terkandung dalam al-Quran secara berterusan.

"Mutiara yang diperoleh darinya akan menyuntik semangat baru yang boleh merubah minda umat kepada budaya bertindak yang matang dan mantap," titah baginda ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa ke-51 di sini, malam tadi.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Majlis tilawah kali ini disertai 61 peserta dari 34 negara. Tiga peserta mendengarkan bacaan malam tadi iaitu Yazeed Mohamad Al-Qattan dari Kuwait, AboBakr Ali Ahmed Al-Dahbii dari Yaman dan Ana De Fatima dari Timor Leste.

Tilawah kali ini bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.

Seri Paduka berharap umat Islam mampu menjadi ummah yang terbilang dan sentiasa mendepani cabaran semasa dengan perisai iman yang teguh dan ilmu yang memberi manfaat.

Baginda bertitah, sesungguhnya Islam adalah agama untuk umat manusia dan telah berjaya menyatukan pelbagai bangsa budaya dan bahasa di bawah kesatuan aqidah.

"Keadaan ini berlaku di era kehidupan baginda Rasullah pada zaman sahabat dan pada zaman kegemilangan Islam.

"Mereka melakukannya dengan penuh iltizam, hikmah, bijaksana dan berstrategi. Mereka merasa terbela lantaran wujudnya ketelusan dan keadilan yang dilakukan semua pihak terutama penguasa dan pegawai yang melaksanakannya dengan penuh amanah dan berintegriti," titah baginda.

- BERITA HARIAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.