Bajet 2010 'nilai untuk wang'

Kerajaan akan menerapkan konsep 'nilai untuk wang' dalam Bajet 2010, iaitu dengan memberi penumpuan kepada memperoleh kesan atau hasil maksimum daripada perbelanjaan dan peruntukan yang disalurkan kepada pelbagai kementerian.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata selain memastikan keberkesanan penyaluran peruntukan, konsep itu juga membolehkan kerajaan menurunkan kos operasi.

"Kita sedang melihat konsep 'nilai untuk wang'. Sebelum ini, mana-mana kementerian yang membelanjakan semua jumlah yang diperuntukkan dalam bajet dianggap sebagai berprestasi baik, namun ia bukan sedemikian lagi sekarang ini.

"Kerajaan akan mengkaji mengenai implikasi dan hasil perbelanjaan itu kepada negara terlebih dulu, sama ada dari segi perbelanjaan operasi atau pembangunan.

"Dengan berbuat demikian, kita akan dapat menurunkan kos, khususnya dari segi perbelanjaan operasi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kumpulan tumpuan mengenai Bajet 2010 di Putrajaya, semalam.

Ahmad Husni menjangkakan, perbelanjaan secara teratur dan berhemah akan membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan operasinya sehingga 15 peratus tahun depan.

Langkah itu, katanya, antara lain akan membolehkan negara merendahkan kadar defisit bajet yang mencecah 7.6 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Ahmad Husni menjelaskan, dalam melaksanakan perbelanjaan operasi secara berhemah pada peringkat kementerian, ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

Ini termasuk mengehad bilangan pegawai mengiringi menteri dalam lawatan ke luar negara kepada dua orang, katanya.

Ahmad Husni menjelaskan, pendapatan kerajaan tahun ini dan tahun depan dijangka lebih rendah berbanding tahun sebelumnya kesan kegawatan ekonomi global yang menyaksikan kelembapan dalam pelbagai sektor khususnya sektor eksport serta penurunan pendapatan sumber asli negara seperti minyak mentah.

Susulan itu, katanya, kerajaan sedang melihat kepada beberapa bidang yang boleh meningkatkan pendapatannya termasuk percukaian dan menjana wang daripada aset kerajaan di kawasan mewah.

Bagaimanapun, katanya, sebarang langkah yang diambil akan diteliti secara mendalam supaya tidak memberi kesan kepada mutu kehidupan rakyat.

Mengenai saranan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) supaya Kerajaan Malaysia menimbangkan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan, Ahmad Husni berkata, kerajaan sedang melaksanakan kajian terperinci mengenai kesan sosial jika sistem percukaian itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih tidak menetapkan sebarang jangka masa pelaksanaan sistem itu.

Mengulas mengenai mesyuarat kumpulan tumpuan berhubung Bajet 2010, Ahmad Husni berkata, kerajaan sudah mengadakan sejumlah 18 pertemuan dengan kumpulan berkenaan dan mesyuarat semalam adalah yang terakhir.

Katanya, antara bidang tumpuan Bajet 2010 adalah pelaburan swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), teknologi maklumat (ICT), industri halal, sektor kewangan, pembangunan infrastruktur luar bandar, sektor perkilangan, pembangunan sumber manusia, teknologi hijau, sektor pertanian, jenayah dan keselamatan awam dan pengangkutan awam.

- BERITA HARIAN Bajet 2010 'nilai untuk wang'

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.